:: WaJiB ::
:: TAK NAK BN ::
:: JaM CaiRo ::
:: RaDio KaHeRaH ::
:: MeSiR KiNi ::

:: NaSyiD.FM ::

:: TaQwiM ::
:: ProDuK SyuBhaH ::

:: SeCanGkIR KaSiH ::
:: AkHbaR PiLiHaN ::

:: LaMaN InFO ::

:: MoNeY ChAnGeR ::

Unit

Daripada

Kepada



:: MeSiR ::

:: AnDa PeNGunJunG Ke ::
KEADAAN PAKSAAN YANG DIBENARKAN II
Khamis, Disember 31, 2009

Harta Benda, Pangkat dan Keluarga

Allah taala menolak alasan hubungan keluarga bagi memberi ketundukan dan kesetian kepada kekufuran.

Firman Allah taala dalam Surah at-Taubah, ayat 23 yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, janganlah kamu jadikan bapa-bapa kamu dan saudara-saudaramu menjadi wali jika mereka lebih mengutamakan kekafiran di atas keimanan, dan sesiapa di antara kamu yang berwalikan mereka maka mereka itulah orang-orang zalim".

Lihatlah betapa Allah taala tidak mengizinkan hubungan keluarga yang paling hampir sebagai alasan untuk memberi wala' (kesetiaan, kepimpinan, kebersamaan) kepada orang kafir. Oleh itu lebih tidak mengizinkan lagi untuk dijadikan alasan kepentingan harta benda, pangkat dan segala perhiasan dunia ini, bahkan Allah taala telah berfirman dalam Surah at-Taubah ayat 24 yang bermaksud:

"Katakanlah (Wahai Muhammad), jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga kamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbangkan kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu kasihi (cintai) daripada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad pada jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (pembalasan-Nya), dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang Fasiq".

Seterusnya Allah taala memberi amaran kepada orang-orang yang memberi kesetiaan dan ketundukan kepada orang Yahudi dan Nasrani dengan firman-Nya dalam Surah al-Maidah ayat 51-52 yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi walimu (pemimpin dan penolong), sebahagian mereka adalah wali kepada sebahagian yang lain. Barangsiapa di antara kamu mengambil mereka menjadi wali, maka sesungguhnya orang itu termasuk di dalam golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim. Maka kamu akan melihat orang-orang yang ada penyakit di dalam hatinya (orang-orang Munafik) bersegera mendekati mereka (Yahudi dan Nasrani), seraya berkata: "Kami takut akan mendapat bala bencana", mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada Rasul-Nya) atau keputusan dari sisi-Nya. Maka kerana itu, mereka akan jadi menyesal di atas apa yang mereka rahsiakan di dalam hati mereka".

Oleh itu, maka tidak boleh dijadikan alasan kepentingan harta benda, pangkat dan keluarga. Yang boleh dijadikan alasan paksaan ialah seperti yang berlaku kepada Amar bin Yasir dan keluarganya radhiallahu anhu yang menjadi sebab turunnya ayat rukhsoh (kelonggaran) dalam menghadapi paksaan dengan syarat hatinya tidak redha sekali-kali dengan kekufuran itu.

Apabila tidak ada lagi paksaan, maka tidak ada lagi rukhsohnya. Berkata al-Imam Qurtubi: "Telah menjadi Ijma' Ulama bahawa orang yang dipaksa dengan kekufuran lalu dia memilih mati dibunuh adalah Syahid dan mendapat pahala yang lebih besar dan lebih baik daripada orang-orang yang menerima Rukhsoh. Itulah yang berlaku kepada Ashabul Ukhdud yang disebut ceritanya di dalam al-Quran, dan itulah yang disabdakan oleh Rasulullah SAW mengikut riwayat Khabab bin al-Arat r.a yang bermaksud:

"Sesungguhnya adalah orang sebelum kamu ada yang ditanam hidup-hidup dan digergaji dari atas kepalanya sehingga terbelah dua, dan adakalanya dikupas dengan sikap besi mengenai daging dan tulang. Keadaan begitu tidaklah menggoyangkan pegangannya terhadap agama". (Riwayat Imam Bukhari)
posted by Abu Mus'ab @ 8:44 PTG   0 comments
BUBUR ASYURAA' ; ADAT DAN SYARIAT
Isnin, Disember 28, 2009

Bubur Asyuraa'; Di Antara Adat dan Syariat

Tersebut di dalam kitab Nihayatuz Zain, bahawasanya ketika mana bahtera Nabi Nuh a.s berlabuh di Bukit Juudi pada hari Asyuraa' maka berkatalah Nabi Nuh a.s kepada umatnya:

"Himpunkan apa yang kamu miliki daripada makanan yang lebih-lebih, maka dibawalah satu genggam daripada kacang Baqila' iaitu kacang ful (Kacang Poi) dan satu genggam kacang adas dan Ba'ruz dan tepung dan kacang Hinthoh sehingga menjadi tujuh bagai biji bijian yang dimasak".

Maka berkatala Nabi Nuh a.s: "Masakkanlah sekaliannya kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang", maka berdasarkan kisah inilah sebahagian kaum muslimin menjadikan makanan mereka itu daripada biji-bijian (bubur Asyuraa'), dan adalah masakan itu yang pertama dimasak di atas permukaan bumi setelah berlakunya banjir besar dan taufan yang melanda bumi".

Syeikh Ibnu Hajar Al-'Asqolani bersyair dengan katanya yang bermaksud:

Pada hari Asyuraa' tujuh yang dimakan, iaitu Gandum (tepung) dan Beras, kemudian Kacang Mash (kacang kuda) dan Kacang Adas (kacang parpu)

Dan Kacang Himmash (kacang putih) dan Kacang Lubia (sejenis kacang panjang) dan Kacang Ful (kacang Poi),

Inilah pendapat yang soheh dan manqul (yang diambil dari kalam Ulama').

Sesungguhnya peristiwa memasak makanan di Bukit Juudi itu merupakan suatu arahan daripada Nabi Nuh a.s dan setiap arahan para Nabi dan Rasul itu merupakan suatu hukum yang patut dipatuhi oleh umatnya.

Setelah kedatangan Nabi Muhammad SAW, maka terbatallah hukum hakam atau syariat nabi yang dahulu kecuali beberapa perkara yang juga diamalkan seperti persoalan Aqidah Islamiyyah, khabaran peristiwa umat yang terdahulu untuk diambil pengajaran dan sebagainya.

Dan kita akan dapati di dalam kitab-kitab usul Fiqh ada dibahaskan secara panjang lebar tentang beberapa perkara yang merupakan sumber-sumber rujukan hukum di dalam Islam, iaitu: Al-Quran, al-Hadis, Ijma' Ulama, Qias, Istishab, Istihsan, Maslahatul Mursalah, al-Urf, Sadduz Zara'ii, Amal Ahli Madinah, Mazhab Sahabat dan Ash Syar'uu Man Qablana.

Ash Syar'uu Man Qablana bererti perkara yang berlaku pada zaman dan umat dahulu yang tidak dinasakhkan (dibatalkan) untuk dijadikan iktibar dan panduan hidup berterusan oleh umat yang akan datang.

Maka bubur Asyuraa' merupakan salah satu daripada perkara yang disebutkan sebagai Ash Syar'uu Man Qablana yang boleh kita amalkan dalam kehidupan kita. Itupun kalau dimasak dan diadakan dengan tujuan mengingati peristiwa yang berlaku di zaman Nabi Nuh a.s, di mana manusia lupa dan lalai dengan tuntutan beragama disebabkan menuruti kehendak hawa nafsu yang rakus maka Allah taala tenggelamkan mereka sehingga tiada sesuatu untuk dimakan melainkan sedikit sahaja.

Dan lagi elok kita adakan dan masakkan bubur Asyuraa' dengan tujuan untuk memberi makan kepada keluarga, faqir miskin yang sangat memerlukan kepada makanan dan orang yang berpuasa dan sebagainya.

Dan lebih elok lagi apabila diadakan bubur tersebut secara berjemaah atau gotong-royong yang akhirnya akan menyebabkan terjalinnya ikatan ukhuwwah yang erat dan kukuh.

Tetapi janganlah sampai bubur Asyuraa' dijadikan matlamat, sehingga akhirnya mengenepikan penghayatan terhadap ibadah, seumpama Puasa Sunat Asyuraa'.

Maka dengan tujuan-tujuan di atas tadi, menjadikan bubur Asyuraa' yang kita adakan itu adalah Ibadat. Tetapi sekiranya bubur yang menjadi perseoalan penting dengan semata-mata untuk mencuba resepi baru, sehingga mengenepikan tujuan ianya disyariatkan, maka ianya menjadi adat semata-mata dan kosong dari mendapat ganjaran pahala Allah taala.

posted by Abu Mus'ab @ 9:42 PG   0 comments
PUASA ASYURAA'
Ahad, Disember 27, 2009

Puasa Asyura'

Daripada Abi Qitadah, bahawasanya Nabi Muhammad SAW telah bersabda yang bermaksud: "Berpuasa pada hari Asyuraa' bahawasanya aku berharap di atas Allah taala bahawa ianya (berpuasa itu) dapat menghapuskan segala kesalahan pada tahun yang telah lalu". (Riwayat Termizi)

Alhamdulillah, kita hari telah berada di hari yang ke 10 Muharram bagi tahun baru 1431 Hijrah. Suatu permulaan yang baik. Pejam celik, tak sedar hari ini dah masuk 10 Muharram, orang Islam di seluruh dunia dituntut agar mengerjakan amalan sunat ini iaitu berpuasa Asyuraa.

Walaupun hukumnya adalah sunat, tetapi inilah antara mekanisme atau cara bagaimana hendak Istiqamah dalam perjuangan Islam, khusus dalam PAS ini. Dengan berbekalkan bekalan ini, insyaAllah dapat kita gunakan tika saat diperlukan di masa akan datang.

Di awal Islam, Asyuraa' menjadi suatu hari yang sangat penting dan istimewa seumpama hari raya kerana kelebihannya yang banyak yang telah dikurniakan oleh Allah taala bagi mereka yang meraikannya dengan panduan agama, bahkan menurut sebahagian ulama, adalah wajib berpuasa pada hari itu bagi meraikan kedatangan hari Asyuraa'.

Apabila datangnya perintah untuk berpuasa di bulan Ramadhan, maka hukum berpuasa pada hari Asyuraa' sudah bertukar menjadi sunat muakkad, yang sangat dituntut untuk diamalkan.

Yang paling menyedihkan, terdapat sesetengah golongan yang seolah-olah tidak mengambil tahu tentang kebelebihan yang berada di dalam hari ini, sehinggakan ada yang leka, lupa dan lalai dengan kepentingan meraikan hari Asyuraa' dengan mementingkan"Bubur Asyuraa'" daripada amalan-amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah taala atau dengan kata lain apakah Hari Asyuraa' bagi kita sekadar adat atau syariat?

Perlu difahami bersama, bahawasanya hari Asyuraa' itu bukan sahaja diraikan oleh umat Islam tetapi juga oleh mereka yang bukan Islam seperti golongan Yahudi.

Sungguhpun begitu, Rasulullah SAW menyuruh supaya kita meraikan hari Asyuraa' tetapi dengan keadaan dan sambutan yang berbeza, kerana ada larangan yang keras di dalam agama menyerupai golongan yang bukan Islam baik dalam apa keadaan sekalipun.
posted by Abu Mus'ab @ 2:24 PTG   0 comments
MULTAQA' ILMAM TERENGGANU
Khamis, Disember 24, 2009

Multaqa' Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Terengganu

Pada:
09 Muharram 1431 H / 26 Disember 2009 ( Sabtu )

Jam:
09 Pagi hingga 12 Tengahari

Bertempat Di:
Dewan Surau Darul Syifa', Kuala Ibai

Pendaftaran RM10 seorang

Perasmian Oleh:
Ybhg. Ustaz Haji Nik Mohd Zawawi bin Salleh
(Pengerusi Alumnai Mahasiswa Timur Tengah)

Semua Pelajar Lepasan Mesir Dijemput Hadir

Semoga dengan kehadiran anda sekalian, menceriakan lagi dan menambahkan lagi keberkatan majlis tersebut.
posted by Abu Mus'ab @ 9:01 PG   0 comments
KEADAAN PAKSAAN YANG DIBENARKAN
Rabu, Disember 23, 2009

Keadaan Paksaan Yang Dibenarkan


Untuk melakarkan kata-kata dalam penulisan blog ini bukanlah mudah seperti yang disangkakan. Di sana adanya pro dan kontranya. Banyak perkara yang perlu difikirkan dan ditelitikan. Kadang-kadang ia melibatkan emosi seseorang samada baik ataupun buruk. Semua ini memerlukan kepada keyakinan dan kepercayaan seseorang terhadap dirinya sendiri.

Kali ini, saya nak memperkatakan sesuatu tentang PAKSAAN, berdasarkan kepada kitab Muqaddimah Aqidah Muslimin, karangan seorang ulama' yang muktabar di dunia ini.

Sesungguhnya Allah taala tidak menerima keuzuran bagi seseorang itu untuk Tunduk (akur, mengikut, membenarkan, membiarkan) dan memberi kesetian kepada kekufuran malainkan dalam satu keadaan sahaja iaitu ketika menghadapi paksaan, seperti yang dinyatakan oleh firman Allah taala dalam Surah al-Imran ayat 28 yang bermaksud: "janganlah orang-orang mukmin mengambil orang kafir menjadi wali (teman akrab, pemimpin, penolong, pelindung) dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Barangsiapa yang melakukan demikian maka tiadalah dia daripada Allah sesuatu pun, kecuali kerana memelihara diri".

Perlu difahami bahawa paksaan itu tidak membolehkan seseorang itu redha dengan hatinya kerana Allah taala berfirman dalam Surah an-Nahlu ayat 106 yang bermaksud: "Melainkan sesiapa yang dipaksa dan keadaan hatinya tenang dengan iman".

Kerana paksaan itu tidak dapat menguasai hati. Apa yang dimaafkan ialah pada tempat yang dapat diberi kesannya oleh paksaan iaitu perkataan dan perbuatan, dan paksaan itu hendaklah sampai ke peringkatnya yang sebenar sehingga diseksa dan dibunuh.

Dengan itu, maka tidak boleh dibuat perhitungan paksaan kepada orang yang bimbangkan harta benda, pangkat dan jawatan kerana paksaan terhadap perkara tersebut dalam menegakkan iman hanyalah merupakan perhiasan syaitan, dan seperti yang telah dinyatakan oleh Allah taala dalam surah an-Nahlu ayat 107 yang bermaksud: "Yang demikian itu disebabkan kerana sesungguhnya mereka mencintai kehidupan di dunia lebih daripada akhirat dan bahawasanya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang kafir".

Allah taala menolak alasan hubungan keluarga bagi memberi ketundukan dan kesetian kepada kekufuran.

bersambung ...
posted by Abu Mus'ab @ 6:02 PTG   0 comments
SEJADAH BERDIRI KETIKA USRAH

Sejadah Berdiri Ketika Usrah PAS Batu Caves?


3 November 2009 - Fenomena sejadah berdiri telah berlaku ketika usrah Pemuda PAS Batu Caves-Gombak malam semalam. Kejadian tersebut menggemparkan seluruh ahli usrah berkenaan yang masing-masing sedang khusyuk mendengar pengisian usrah.

Kedudukan sejadah tersebut betul-betul menghadap ke arah kiblat dalam keadaan seolah-olah duduk bersimpuh. Tempat usrah tersebut terpaksa dirahsiakan demi untuk mengelakkan salah tanggap masyarakat.

Ia disedari selepas satu jam usrah berlansung oleh salah seorang ahli usrah tersebut. Beliau menyedarinya kerana beliaulah yang bertanggungjawab mem"berdirikan" sejadah berkenaan.

Kejadian ini memberii iktibar kepada seluruh ahli usrah serta ahli-ahli PAS umumnya untuk sentiasa hadir ke usrah. Jika sejadah pun berkesedaran untuk hadir ke usrah, apatah lagi manusia, lebih-lebih lagi ahli PAS. Gambar-gambar boleh dilihat di dalam website www.PemudaGombak.com .

Walaupun hal kejadian ini telah lebih sebulan berlalu, tetapi ia cukup bermakna bagi kita semua selaku ahli dan pendokong gerakan Islam PAS. Sama-sama kita bermuhasabah khusus ana sendiri, sejauh mana kita melengkapkan kehidupan kita seharian dengan mendirikan solat berjemaah, khususnya di masjid ataupun surau?

Sejauh mana kita melazimi program tarbiyyah, khususnya Usrah; yang berbentuk halaqah yang ada pengisian? Kalaulah sejadah boleh menghadiri Usrah, kita pendokong PAS, sememangnya kita lebih hebat daripada sejadah, betul tak?
posted by Abu Mus'ab @ 5:49 PTG   0 comments
PASTI FELDA KERTIH 1 DIKHIANATI ....
Selasa, Disember 22, 2009

PASTI Felda Kertih 1 DiKHIANATI

PAKA: Petang Khamis, satu kejadian yang amat tidak disangka-sangka, kejadian yang menandakan ada usaha untuk menjatuhkan sistem pendidikan Islam, kejadian yang memberitahu bahawa kejadian ini adalah antara satu agenda yang diperintiskan oleh Yahudi laknatullah yang direalisasikan oleh proksinya (Yahudi), kejadian yang sama sekali akan membangkitkan lagi semangat Ahli PAS untuk menentang rejim proksi Yahudi ini.

Kejadian ini berlaku di PASTI Ibnu al-Baita, Felda Kertih 1. Dinyatakan oleh salah seorang saksi, bahawa kejadian itu didalangi oleh 3 orang remaja, yang dikatakan remaja tersebut adalah orang luar (bukan orang felda). Apa motif kejadian ini?

Untuk mendapatkan informasi penuh dan melihat foto-foto yang berkenaan, sila ke laman blog Pemuda PAS Paka. Klik DI SINI.
posted by Abu Mus'ab @ 8:15 PTG   0 comments
PERUTUSAN MA'AL HIJRAH 1431
Khamis, Disember 17, 2009

Hijrah Sumber Kekuatan Ummah

Firman Allah taala yang bermaksud: "Barangsiapa yang berhijrah di jalan Allah taala, nescaya mereka akan mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Barangsiapa keluar dari rumahnya dengan bermaksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian dia mati, (sebelum sampai kepada maksudnya), maka sesungguhnya dia telah mendapat pahala dari sisi Allah taala, dan adalah Allah taala adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah an-Nisa': Ayat 100)

Penghijrahan kaum muslimin yang dipimpin oleh Rasulullah SAW dari Kota Mekkah ke Kota Madinah merupakan satu dimensi baru kepada dakwah Islamiyyah dan seterusnya penghayatan kepada ajaran Islam yang sebenar. Penghijrahan umat Islam dari suasana yang lama, iaitu Mekkah kepada satu suasana baru iaitu Madinah adalah detik yang penting kepada pembaharuan sistem nilai serta hidup manusia iaitu penghijrahan dari keburukan kepada kebaikan.

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Orang yang benar-benar berhijrah ialah orang yang berhijrah dari apa yang ditegah oleh Allah taala".

Penghijrahan yang merupakan proses kematangan penyebaran risalah Allah taala ini tidak mungkin berjaya jika tidak diiringi oleh perubahan sikap dan nilai umat Islam dalam menghadapi suasana baru. Sejarah telah membuktikan bagaimana Rasulullah SAW menanamkan benih-benih perpaduan, persaudaraan, saling menolong, pengorbanan, kesungguhan, kecintaan dan ketaqwaan di dalam sanubari umat Islam ketika itu, iaitu antara golongan Muhajirin dan Ansar.

Itulah unsur-unsur terpenting bagi umat Islam sebagai persedian menghadapi cabaran dan ujian yang datangnya samada dari kaum Musyrikin Quraisy, golongan Munafik, tipu daya iblis atau daripada nafsu mereka sendiri. Demikianlah keadaan kita umat Islam masa kini. Perubahan zaman, tamadun, budaya dan teknologi manusia hari ini yang begitu pantas sebenarnya menghambat umat Islam melakukan persedian dan persiapan yang jitu lagi mantap bagi menghadapi perubahan dan kejutan tersebut. Ini penting bagi memastikan dakwah Islamiyyah dan perjuangan menegakkan Syiar Islam berjalan dengan baik dan lancar sebagaimana yang telah diagendakan.

Jika generasi Islam ini mempunyai keyakinan, pasti jalan-jalan menuju kejayaan akan terbentang luas. Penghijrahan minda umat ini perlu dilakukan agar berani menghadapi cabaran terutamanya dalam menghadapi dunia tanpa sempadan dan ianya tidak berlaku secara semulajadi tetapi melalui usaha dan ikhtiar dari umat Islam itu sendiri sebagaimana Allah taala menyatakan di dalam Surah ar-Ro'du, ayat 11 yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri".

Hijrah juga mengajar kita betapa pentingnya sikap cekal di dalam diri. Kecekalan kaum Muhajirin ketika berhijrah merasai ranjau yang berduri, kepayahan, penderitaan, kehilangan harta benda dan keluarga. Semua penyeksaan ini merupakan aset pengajaran yang amat penting dalam membentuk jiwa yang kental dan tabah kepada generasi muda masa kini. Kecekalan mereka yang berteraskan keyakinan bahawa janji kemenangan dan pertolongan daripada Allah taala pasti benar, dan akhirnya berjaya meruntuhkan keangkuhan jahiliyyah serta menjadikan kebatilan tersungkur hina.

Ini dapat kita lihat dari firman Allah taala dalam Surah at-Taubah, ayat 20 yang bermaksud: "Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah taala dengan harta benda dan jiwa raga mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah taala, dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan".

Berbekalkan keyakinan dan kecekalan inilah maka saf pelapis umat Islam akan berupaya mengharungi cabaran tipu daya musuh Islam serta golongan munafik yang sekali-kali tidak akan mampu menahan arus kebangkitan Islam. Malahan usaha dan semangat mereka semakin bertambah untuk bersaing seterusnya menerajui ketamadunan manusia yang bernaungkan Islam. Kekuatan sedemikian akan dapat dicapai menerusi lipatan sejarah kecekalan para Muhajirin dan Ansar di dalam peristiwa hijrah.

Sempena membuka lembaran baru ini, marilah kita sama-sama bermuhasabah sejauh mana penghayatan kita terhadap peristiwa hijrah. Adakah sekadar ucapan sahaja atau kita garapkan peristiwa ini ke dalam sanubari kita dalam usaha untuk meneruskan perjuangan yang dibawa oleh Rasulullah SAW?

Sekiranya kita meneliti ayat al-Quran terlalu banyak cerita dan kisah yang berhubung dengan peristiwa hijrah. Di samping itu juga kita perlu menilai adakah kehidupan kita, perjuangan kita dan segala usaha kita bertepatan dengan kehendak Allah taala atau tidak?

Sehubungan dengan itu, saya sebagai Presiden, mewakili saf kepimpinan Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Pusat, mengucapkan salam Ma'al Hijrah bagi tahun 1431 Hijrah. Mudah-mudahan kita semua dapat merealisasikan maksud Hijrah di dalam diri kita dengan ertikata yang sebenarnya.

Wassalam

Ust Mohd Azizul Hisham bin Zulkifli,

Presiden Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Pusat.

posted by Abu Mus'ab @ 10:06 PTG   0 comments
XPDC EDARAN RISALAH DAKWAH DISABOTAJ UMNO
Rabu, Disember 16, 2009

XPDC Edaran Risalah Pemuda Paka DISABOTAJ UMNO

Hari ini, Rabu, saya merasakan amat terkilan. Dengan keesokannya, Khamis, hari terakhir dalam tahun 1430 Hijrah. Yang meyakinkan lagi bahawa UMNO tidak sukakan Islam, bahkan menyekat daripada tersebar luasnya kefahaman tentang Islam.

Bagi saya, jika bahan risalah tersebut berkait dengan pembongkaran kejahatan, penyelewengan dan kezaliman UMNO ni, saya boleh terima risalah tersebut tidak dicetak dan dikeluarkan. Tetapi, bahan risalah tersebut terkandung isinya doa-doa akhir tahun hijrah dan awal tahun hijrah untuk diedarkan kepada penduduk Paka pada Pasar Malam Paka. Saat-saat akhir tidak dicetak dengan pelbagai alasan yang diberikan. Cukup menyedihkan. Di mana iman orang umno ni yang selama ini menyangka dia beriman kepada Allah?

Saya nak menasihati kepada orang UMNO samada pendokong atau penyokong, dan saya juga turut menasihati kepada semua muslimin dan muslimat, tak lupa kepada diri saya sendiri secara khususnya, tentang beberapa ancaman Allah taala kepada orang yang zalim, orang yang menyekat penyebaran dakwah Islam, dan orang yang memberi pertolongan kepada orang yang melakukan kezaliman, atau kemungkaran.

Dalam Surah Hud, ayat yang ke 18, Allah taala ada menyebut dengan firman-Nya yang bermaksud: "Ingatlah bahawa laknat Allah adalah atas orang-orang yang zalim". Dan pada Surah A'raf, dalam ayat yang ke 44, Allah taala menambah lagi dengan firman-Nya yang bermaksud: "Maka berserulah orang yang menyerukan bahawasanya laknat Allah taala adalah atas orang-orang yang zalim".

Kedua-dua ayat ini dan sebenarnya masih ada lagi ayat al-Quran dengan celaan dan laknatkan Allah taala kepada orang yang melakukan, menyokong, serta membantu kemungkaran, kezaliman, dan menyekat penyebaran syariat Allah taala.

Laknatkan dan celaan ini turut dikuatkan dengan satu hadis soheh, Nabi Muhammad SAW pernah menyatakan:

من أحدث فيها حدثا أوى محدثا فعليه لعنة الله والملائكة والناس أجمعين

"Barangsiapa yang melakukan sesuatu kemungkaran atau memberi tempat perlindungan kepada orang yang melakukan kemungkaran, maka atasnya adalah laknat Allah, seluruh malaikat dan semua manusia".

Hadis di atas menunjukkan orang yang menyekat penyebaran dakwah Islam turut sama mendapat laknat Allah taala, para malaikat dan orang yang beriman. Saya amat meyakini bahawa orang yang betul-betul memiliki fikiran yang waras boleh menerima hujah Naqli ini. Walaupun dia merupakan lepasan Phd atau MA, apatah lagi mereka yang memiliki Sarjana Muda. Bahkan orang yang beriman dengan sungguh-sungguh boleh menerima nas-nas ini.

Bagi pendokong dan penyokong, terutama pemikir UMNO yang memperagendakan segala perancangan Yahudi laknatullah yang mesti dilaksanakan, merasakan nas-nas yang datang daripada Allah taala dan Hadis Nabi Muhammad SAW hanyalah dongeng rekaan semata-mata. Mereka tidak meyakini dan mempercayainya. Menolak mentah-mentah akan nas-nas yang bercanggah dengan hawa nafsu syaitan dalam diri mereka.

Saya berharap dengan semangat Hijrah yang akan lalui esok malam, yang telah diperintiskan oleh Baginda Nabi Muhammad SAW, menjadi tuntutan dan tauladan serta panduan dalam usaha memberkati dan merahmati kehidupan kita seharian, sehinggalah berakhir hayat di badan.

Ust Mohd Azizul Hisham bin Zulkifli

Timbalan Ketua Pemuda PAS Dun Paka.

posted by Abu Mus'ab @ 8:11 PTG   0 comments
AMALAN KEBAJIKAN YANG DITOLAK

Amalan Kebajikan Yang Ditolak Oleh Allah taala

"Dimisalkan barang yang mereka nafkahkan semasa hidup di dunia ini adalah seperti angin yang mengandungi sejuk (panas) yang bersangatan bertiup menimpa tanaman sesuatu kaum; yang mereka zalimi diri mereka sehingga (angin tersebut) merosakkannya (tanamannya). Tiada Allah menzalimi mereka, tetapi mereka sendiri yang menzalimi diri mereka sendiri." (Surah al-Imran;117)

Setelah Allah taala menyatakan bahawa harta-harta orang kafir itu dan anak-anak mereka tidak dapat digunakan untuk mempertahankan diri mereka dari seksaan Allah, maka Allah menyatakan pula - dalam ayat ini - bahawa harta yang mereka membelanjakan pada jalan kebaikan selama mereka hidup dalam dunia ini yang mereka sangkakan boleh memberi guna kepada mereka di belakang hari itu adalah sebenarnya tidak akan memberi guna, yang digambarkan oleh Allah dengan suatu perumpamaan iaitu; seperti angin yang mengandungi bencana yang dinamakan 'Sirrun' - setengah ulama' menyatakan 'sirrun' itu sejuk yang bersangatan dan setengah yang lain mengatakan 'sirrun' panas yang bersangatan atau 'angin samum' - tujuannya satu jua iaitu angin yang bertiup mengandungi bencana apabila menimpa tanaman orang, binasalah semuanya.

Kesimpulannya; Keadaan orang kafir (orang yang ingkar / menentang Islam) yang membelanjakan hartanya pada jalan kebaikan umpama membuat pertahanan dari diserang musuh, pembangunan untuk kemakmuran rakyat, kebajikan untuk menolong orang-orang miskin, yatim dan sengsara, membuat jalan raya, jambatan, sekolah, dan masjid-masjid, dengan harapan mudah-mudahan mendapat pahala di akhirat kelak, masa semuanya itu samalah halnya seperti angin yang bersangatan sejuk atau panas yang bertiup memusnahkan tanaman, kerana asalnya tanaman itu ditanam oleh orang yang zalim - menzalimi diri sendiri dengan sikap yang kufur dan perbuatannya yang maksiat, mereka tidak mendapat faedah apa-apa daripadanya sebagaimana orang yang empunya tanam-tanaman itu tidak mendapat faedah apa-apa.

Tetapi seandainya yang bertanam itu orang yang mukmin lagi muslim - yakni benar-benar beriman dan berserah, walaupun tanamannya binasa dimusnahkan angin hanya pada lahirnya binasa tetapi pada hakikatnya terpelihara dengan mendapat pahala di atas kesabarannya di dalam menghadapi malapetaka.

Allah taala tidak menzalimi orang-orang yang kufur itu - teraniayai kerana tidak mendapat faedah dari harta yang mereka belanjakan - tetapi mereka yang menzalimi diri mereka sendiri.

Abu Mus'ab
posted by Abu Mus'ab @ 3:32 PTG   0 comments
HIDAYAT BUKAN HAK MILIK DAI'E
Isnin, Disember 14, 2009

Hidayat Bukan Hak Milik Dai'e


Tatkala seorang da'i melihat beberapa pemuda yang wajah mereka menyiratkan ketaatan maka ia berkeinginan untuk berkenalan dan mengajak mereka ke jalan dakwah.

Yang perlu diperhatikan adalah dalam mendekati mereka diharapkan dengan langkah yang cermat, kerana biasanya pemuda-pemuda ini mempunyai seseorang yang mereka segani dan hormati.

Jika seorang da'i dapat mendekati orang tersebut, kemungkinan pemuda-pemuda itu akan mengikuti dakwah kita. Namun jika pendekatan ini tidak berhasil, sebagai da'i, ia tidak boleh putus asa. Ia harus mendekati salah satu pemuda di antara pemuda-pemuda tadi yang pemahamannya terhadap dakwah Islamiah lebih mantap, bergaul dengannya dan juga yang lain dengan sabar dan penuh kasih sayang tanpa menyinggung permasalahan yang dapat menyebabkan hubungan itu terganggu. Jika dengan izin Allah pemuda itu mahu menerima ajakan kita, ini akan sangat membantu usaha kita untuk mengajak teman-temannya yang lain.

Pendekatan itu harus dilakukan dengan lemah lembut. Kita harus menyedari bahawa kita tidak diwajibkan untuk memastikan mereka semua menerima ajakan kita, namun jika mereka semua menerima ajakan kita, itu adalah rahmat dari Allah.

Hanya Dialah yang berhak memberikan hidayah. Allah berfirman: "Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberikan petunjuk kepada orang yang kamu cintai, tetapi Allah-lah yang memberi hidayah kepada yang dikehendaki-Nya dan Allah lebih mengetahui orang-orangyang mahu menerima petunjuk." (Al-Qashash: 56)

Ayat ini menjelaskan bahawa walaupun kita memberikan segenap hati kita untuk mengajak mad'u kita, tetapi hanya Allah-lah yang berhak membolak-balikkan hati orang tersebut.

Seorang tukang roti berdiri di depan tempat pembakaran roti, sambil memasukkan potongan-potongan roti ke dalamnya. Setelah menunggu beberapa saat, ia mengeluarkan roti yang sudah masak dan membolak-balikkan yang belum masak.

Setiap kali ada roti yang sudah masak, ia akan mengeluarkannya. Dapat diperhatikan bahawa ada beberapa potong roti yang jatuh ke dalam api dan terbakar.

Inilah keadaan da'i tatkala berdakwah di masyarakat, ia Memberi dan Menerima (give and take). Suatu saat ia mendekat dan pada saat yang lain ia menjauh.

Ia akan memberi kepada setiap orang sebagaimana seorang doktor yang memberikan ubat dengan penuh sabar. Setelah selang beberapa waktu, di antara mereka sudah ada yang disinari oleh cahaya iman (inilah roti yang telah masak), ada yang menyambut ajakan tersebut kerana perasaan takut, ada yang menyambut ajakan tersebut kerana malu, ada yang bersikap angin-anginan, ada pula yang menjauh, dan bahkan ada yang berlaku tidak baik terhadap sang da'i.

Untuk menghadapi mereka itu, kita tidak boleh putus asa, tetapi harus terus berusaha sehingga yang ditunggu-tunggu dapat dipetik, disertai doa agar Allah membukakan hati mereka.

Adapun da'i yang menghabiskan waktunya hanya untuk satu orang dengan harapan agar orang tersebut mahu menerima ajakannya adalah tidak benar. Orang tersebut akan merasa bahawa dirinya diajak dengan cara yang sangat berlebihan, sehingga ia akan berprasangka buruk, dan boleh jadi ia akan lari dari ajakan itu, kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Allah swt.

Kaedah yang harus kita perhatikan adalah: "Ambillah yang mudah dan tinggalkan yang sulit, jika ada yang mudah".
posted by Abu Mus'ab @ 12:43 PTG   0 comments
UNTA MENJADI HAKIM

Unta Menjadi Hakim


Pada zaman Rasulullah s.a.w, ada seorang Yahudi yang menuduh orang Muslim mencuri untanya. Maka dia datangkan empat orang saksi palsu dari golongan munafik. Nabi s.a.w lalu memutuskan hukum unta itu milik orang Yahudi dan memotong tangan Muslim itu sehingga orang Muslim itu kebingungan. Maka ia pun mengangkatkan kepalanya ke langit seraya berkata: "Ya Tuhanku! Engkau Maha Mengetahui bahawa sesungguhnya aku tidak mencuri unta itu."

Selanjutnya orang Muslim itu berkata kepada Nabi s.a.w: "Wahai Rasulullah, sungguh keputusanmu itu adalah benar, akan tetapi mintalah keterangan dari unta ini."

Kemudian Nabi s.a.w bertanya kepada unta itu: "Hai unta, milik siapakah engkau ini ?"

Unta itu menjawab dengan kata-kata yang fasih dan terang: "Wahai Rasulullah, aku adalah milik orang Muslim ini dan sesungguhnya para saksi itu adalah dusta."

Akhirnya Rasulullah s.a.w berkata kepada orang Muslim itu: "Hai orang Muslim, beritahukan kepadaku, apakah yang engkau perbuat, sehingga Allah Taala menjadikan unta ini dapat bercakap perkara yang benar."

Jawab orang Muslim itu: "Wahai Rasulullah, aku tidak tidur di waktu malam sehingga lebih dahulu aku membaca solawat ke atas engkau sepuluh kali."

Rasulullah s.a.w bersabda: "Engkau telah solamat dari hukum potong tanganmu di dunia dan selamat juga dari seksaan di akhirat nantinya dengan sebab berkatnya engkau membaca selawat untukku."

Memang membaca solawat itu sangat digalakkan oleh agama sebab pahala-pahalanya sangat tinggi di sisi Allah. Bahkan dapat melindungi diri dari segala macam bencana yang menimpa, baik di dunia dan di akhirat nanti. Di samping dapat murahkan rezeki orang yang membacanya tidak kurang 100 kali sehari. Sebagaimana dalam kisah tadi, orang Muslim yang dituduh mencuri itu mendapat perlindungan daripada Allah melalui seekor unta yang menghakimkannya.

Yang peliknya, kenapa kita pada hari tidak dapat hendak mengucapkan solawat ke atas Nabi SAW? Sedangkan kita boleh membazirkan masa dengan bersembang di kedai kopi, melayari internet berjam-jam, dan seumpamanya. Fikirkanlah masa yang ada sekarang. Allah taala kurniakan kepada kita 24 jam sehari. Jika dikira dalam minit berjumlah 1440 minit. Jadi apa salahnya kita sama-sama ambil masa 10 minit sahaja sehari untuk bersolawat ke atas Nabi SAW. Tak salah kan?
posted by Abu Mus'ab @ 11:16 PG   0 comments
KHUTBAH JUMAAT 111209
Jumaat, Disember 11, 2009

Khutbah Jumaat 11 Disember 2009;


Noktah Penting Dalam Sejarah Ibadat Haji;

Salam Muslimin/ Muslimat yang dirahmati Allah sekalian,

Untuk mendapatkan Khutbah ini,

Klik DI SINI ;

Syukran Jazilan.

Wassalam.
posted by Abu Mus'ab @ 3:14 PTG   0 comments
PEMUDA-PEMUDI DI AWAL DAKWAH ISLAM
Rabu, Disember 09, 2009

Pemuda-Pemudi Di Awal Dakwah Islam


Nabi Muhammad SAW ketika diangkat menjadi Rasul ketika berumur 40 tahun. Pengikut baginda yang merupakan generasi pertama, kebanyakkan merupakan golongan pemuda-pemudi malahan ada yang masih kanak-kanak. Mereka dibina oleh Rasulullah SAW setiap hari di Darul Arqam.

Di antaranya adalah Ali bin Abi Talib dan Zubair bin Awwam, yang paling muda, kedua-duanya berumur 8 tahun, Talhah bin Ubaidillah (11 tahun), al-Arqam bin Abi Arqam (12 tahun), Abdullah bin Mas'ud (14 tahun), yang akhirnya menjadi salah seorang ahli tafsir terkemuka, Saad bin Abi Waqas (17 tahun), yang kemudiannya menjadi panglima perang al-Qhadhisiah melawan kuasa besar Persia, Jaafar bin Abi Talib (18 tahun), Zaid bin Harithah (20 tahun), Mus'ab bin Umair (24 tahun), Umar al-Khattab (26 tahun), Abu Bakar as-Siddiq (37 tahun), Hamzah bin Abdul Mutallib (42 tahun), Ubaidah bin al-Harith yang paling tua di antara para sahabat yang berusia 50 tahun.

Dan masih terdapat puluhan ribu pemuda pemudi lain yang terlibat aktif dalam dakwah menegakkan panji-panji Islam di masa hidup Rasulullah SAW. Umumnya mereka adalah pemuda-pemudi, bahkan remaja yang baru meningkat dewasa. Dan tidak sedikit di antara mereka telah berperanan penting di usia mudanya.

Usamah bin Zaid ketika berusia 18 tahun, diangkat Nabi SAW sebagai komanden pasukan Islam ketika menyerbu Syam. Padahal di antara pasukan Islam masih terdapat sahabat-sahabat seperti Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab yang lebih tua darinya.

Begitu juga Abdullah bin Umar, jiwa perjuangan Islam telah menguasai sejak berumur 13 tahun. Suatu ketika Rasulullah SAW menyiapkan pasukan untuk perang Badar, datang kepada Rasulullah SAW 2 remaja Islam, Abdullah ibnu Umar dan al-Baraq meminta agar diterima sebagai anggota pasukan Islam tetapi Rasulullah SAW menolak kerana mereka masih kanak-kanak. Tahun berikutnya menjelang perang Uhud, mereka datang sekali lagi kepada Rasulullah SAW untuk tujuan yang sama. Hanya al-Baraq yang diterima. Pada perang al-Ahzab barulah Ibnu Umar diterima sebagai anggota tentera pasukan Islam (Sohih al-Bukhari).

Banyak juga di kalangan pemudi yang menjadi teras dalam perjuangan di peringkat awal dakwah Rasulullah SAW seperti Siti Khadijah binti al-Khuwailid, Siti Aisyah binti Abu Bakar-Isteri Nabi Muhammad SAW, Fatimah, Sumayyah binti Khayyat, dan ramai lagi.

Pemuda-pemudi gagah berani, yang hidupnya semata-mata hanya bagi kejayaan dan kemulian Islam dan pemuda-pemudi seperti itulah yang sanggup memikul beban dakwah dan bersedia bekorban menghadapi pelbagai ujian dan seksaan dengan penuh kesabaran. Mereka mendapat kebaikan, keampunan dari Allah taala dan Syurga yang tak terkira nikmatnya. Mereka itulah yang disebut sebagai orang-orang Muflih (beruntung). Kita macam mana???

"Tetapi Rasulullah SAW dan orang-orang yang beriman bersamanya, mereka berjihad dengan harta dan diri mereka. Dan mereka itulah orang yang memperolehi bermacam-macam kebaikan dan mereka itulah orang-orang yang beruntung". (at-Taubah:88).
posted by Abu Mus'ab @ 12:50 PTG   0 comments
GUNUNG MENANGIS TAKUTKAN NERAKA
Selasa, Disember 08, 2009

Gunung Menangis Takutkan Neraka



Pada suatu hari Uqa'il bin Abi Thalib telah pergi bersama-sama dengan Nabi Muhammad S.A.W. Pada waktu itu Uqa'il telah melihat berita ajaib yang menjadikan tetapi hatinya tetap bertambah kuat di dalam Islam dengan sebab tiga perkara tersebut.


Peristiwa pertama adalah, bahawa Rasulullah S.A.W akan mendatangi hajat yakni hendak membuang air besar dan di hadapannya terdapat beberapa batang pohon. Maka baginda S.A.W berkata kepada Uqa'il: "Hai Uqa'il teruslah engkau berjalan sampai ke pohon itu, dan katalah kepadanya, bahawa sesungguhnya Rasulullah berkata; Agar kamu semua datang kepadanya untuk menjadi aling-aling atau penutup baginya, kerana sesungguhnya baginda akan mengambil air wuduk dan buang air besar."


Uqa'il pun keluar dan pergi mendapatkan pohon-pohon itu dan sebelum dia menyelesaikan tugas itu ternyata pohon-pohon sudah tumbang dari akarnya serta sudah mengelilingi di sekitar baginda S.A.W selesai dari hajatnya. Maka Uqa'il kembali ke tempat pohon-pohon itu.


Peristiwa kedua adalah, bahawa Uqa'il berasa haus dan setelah mencari air ke mana pun jua namun tidak ditemui. Maka baginda S.A.W berkata kepada Uqa'il bin Abi Thalib: "Hai Uqa'il, dakilah gunung itu, dan sampaikanlah salamku kepadanya serta katakan: "Jika padamu ada air, berilah aku minum!"


Uqa'il lalu pergilah mendaki gunung itu dan berkata kepadanya sebagaimana yang telah disabdakan baginda itu. Maka sebelum ia selesai berkata, gunung itu berkata dengan fasihnya: "Katakanlah kepada Rasulullah, bahwa aku sejak Allah S.W.T menurunkan ayat yang bermaksud : ("Hai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu beserta keluargamu dari (seksa) api neraka yang umpannya dari manusia dan batu)." "Aku menangis dari sebab takut kalau aku menjadi batu itu maka tidak ada lagi air padaku."


Peristiwa yang ketiga ialah, bahawa ketika Uqa'il sedang berjalan dengan Nabi, tiba-tiba ada seekor unta yang meloncat dan lari ke hadapan Rasulullah, maka unta itu lalu berkata: "Ya Rasulullah, aku minta perlindungan darimu." Unta masih belum selesai mengadukan halnya, tiba-tiba datanglah dari belakang seorang Arab kampung dengan membawa pedang terhunus. Melihat orang Arab kampung dengan membawa pedang terhunus.


Melihat orang Arab kampung itu, Nabi Muhammad S.A.W berkata: "Mengapakah kamu melakukan hal demikian terhadap unta itu ?"


Jawab orang kampung itu: "Wahai Rasulullah, aku telah membelinya dengan harga yang mahal, tetapi dia tidak mahu taat atau tidak mau jinak, maka akan ku potong saja dan akan ku manfaatkan dagingnya (kuberikan kepada orang-orang yang memerlukan)." Rasulullah S.A.W bertanya: "Mengapa engkau menderhakai dia ?"


Jawab unta itu: "Wahai Rasulullah, sungguh aku tidak menderhakainya dari satu pekerjaan, akan tetapi aku menderhakainya dari sebab perbuatannya yang buruk.. Kerana kabilah yang dia termasuk di dalam golongannya, sama tidur meninggalkan solat Isya'. Kalau sekiranya dia mahu berjanji kepada engkau akan mengerjakan solat Isya' itu, maka aku berjanji tidak akan menderhakainya lagi. Sebab aku takut kalau Allah menurunkan seksa-Nya kepada mereka sedang aku berada di antara mereka."


Akhirnya Nabi Muhammad S.A.W mengambil perjanjian orang Arab kampung itu, bahawa dia tidak akan meninggalkan solat Isya'. Dan baginda Nabi Muhammad S.A.W menyerahkan unta itu kepadanya. Dan dia pun kembali kepada keluarganya.
posted by Abu Mus'ab @ 11:50 PG   0 comments
:: My PeRsoNaL ::





:: KeNanGaN ::

:: ArTikeL TeRKiNi ::
:: ArKiB iLmIYyAh ::
:: PaRTi PAS ::
:: BloGGeR ::
:: JaLiNan ILMU ::
:: TV OnLiNe ::
:: NGO IsLaM ::
:: Template By ::

Free Blogger Templates

BLOGGER