:: WaJiB ::
:: ToLaK BN ::
:: JaM CaiRo ::
:: RaDio KaHeRaH ::
:: Al-QasSaM ::

:: NaSyiD.FM ::

:: TaQwiM ::
:: ProDuK SyuBhaH ::

:: AkHbaR PiLiHaN ::

:: LaMaN InFO ::

:: MoNeY ChAnGeR ::

Unit

Daripada

Kepada



:: PaLesTiNe ::

:: AnDa PeNGunJunG Ke ::
:: Template By ::

Free Blogger Templates

BLOGGER

KEWAJIBAN MELAKSANAKAN HUKUM ALLAH
Khamis, Februari 24, 2011

Kewajipan Melaksanakan Hukum Allah

Firman Allah taala yang bermaksud: "Dan hendaklah ahli Kitab Injil menghukum Dengan apa Yang telah diturunkan oleh Allah di dalamnya; dan sesiapa Yang tidak menghukum Dengan apa Yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang Yang fasik." ( Al Maidah : 47 )

Kefahaman masyarakat Islam di Malaysia sudah sampai ke tahap sayangi hukum Allah. Sebahagian besarnya sedar betapa pentingnya Hukum dan Peraturan Allah untuk menyelesaikan masalah sosial yang berlaku kini. Malangnya kerana sistem pendidikan, pemikiran, politik dan budaya telah mengaburi akal mereka sehingga hampir tidak tahu bagaimana hendak mengaplikasikannya. Dalam keadaan sebegini lahir sekumpulan yang berjuang untuk menegakkannya tetapi dirasakan masih belum memuaskan dan kurang kesesuaian dengan hasrat mereka. Adakah ini disebabkan bentuk penyampaian dan pengolahan yang disampaikan sehingga hampir sebahagian umat Islam hilang kepercayaan? Sebenarnya, pendidikan ala penjajah lebih mempengaruhi dalam membina diri dan tanggapan masyarakat.

Selama ini sebahagian masyarakat yang beranggapan dirinya muslim meletakkan apa yang dilakukannya sudah memadai untuk penerusan hidup mereka dunia dan akhirat. Harapan ini tidak akan menjadi kenyataan kerana Allah tetap menjanjikan kejayaan kepada mereka yang berpegang teguh tanpa mengetepikan mana-mana yang wajib dilaksanakan. Tugas ini diletakkan pada bahu pejuang-pejuang Islam khususnya gerakan Islam. Di Malaysia, tugas ini telah ditanggung oleh PAS. Sudah pasti satu pendekatan baru perlu dijalankan dalam membawa reformasi pemikiran masyarakat.

Kenapa Perlu Kepada Hukum Allah

Sejak merdeka sehingga hari ini semua peraturan dan undang-undang yang diamalkan masih tidak mampu menyelesaikan dan mengurangkan kadar gejala sosial yang berlaku. Ke mana lagi manusia perlu merujuk? Bukankah kepada Yang maha Mencipta dan Maha Berkuasa!. Yakinkah manusia pada Allah dengan penciptaan diri manusia yang serba indah ini? Sekiranya benar, maka perlukah manusia memahami bahawa Allah jadikan manusia berserta dengan peraturan hidupnya sekali? Bolehkah al-Quran itu diterima sebagai Perlembagaan hidup yang terkandung di dalamnya peraturan-peraturan dan undang-undang dalam kehidupan bermasyarakat? Adakah tahap keyakinan mencapai 100% atau masih ada dalam pemikiran mengharapkan penghukuman model sendiri kerana beralasan kepada masyarakat majmuk? Bukankah Allah datangkan manusia dalam pelbagai bangsa dan kaum sebagai masyarakat majmuk yang kemudiannya disediakan peraturan hidup yang sama, sama ada di waktu anak-anak, remaja, belia, dewasa sehingga kepada kematiannya?

Jawapan perlu dilahirkan oleh akal yang waras, kerana apabila Tuhan jadikan manusia maka sudah tentu dijadikan dengan peraturannya sekali, sama juga dengan manusia bila mereka jadikan robot maka dijadikan peraturan dan cara untuk robot itu beroperasi. Sebagai seorang muslim, marilah tanam keyakinan diri bahawa seluruh dalil naqli (nas al-Quran dan al-Sunnah) dan aqli (pendapat ulama) membuktikan bahawa undang-undang yang semestinya mendominasi alam ini adalah undang-undang Allah. Kehidupan di alam ini tidak akan tersusun secara ideal dan adil kecuali di bawah naungan hukum dan peraturan Allah. Segala hal yang berlaku membabitkan manusia tidak akan dapat diselesaikan melainkan merujuk kepada kaedah dan cara yang diperintahkan oleh Allah. Maka perintah Allah itulah yang dikatakan sebagai hukum. Apabila ia melibatkan bilangan yang ramai maka ia menjadi fardhu kifayah, iaitu fardhu dalam erti kata wajib yang dituntut. Jika tidak dilaksanakan maka padahnya berdosa dan zalim dengan erti kata yang lain gejala tersebut tidak dapat diselesaikan atau diatasi. Maka itulah sebabnya wajib melaksanakan Hukum Allah.

Perintah Wajib Melaksanakan Hukum Allah

Allah telah menyebut dengan jelas tentang perintah melaksanakan Hukum dengan Hukum Allah dan akibat kepada keingkaran menempatkan seseorang itu fasiq, kafir dan zalim. Sebagaimana disebut oleh Allah dalam surah al-Maidah ayat 44, 45 dan 47 yang bermaksud:

44. "Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, Yang mengandungi petunjuk dan cahaya Yang menerangi; Dengan Kitab itu Nabi-nabi Yang menyerah diri (kepada Allah) menetapkan hukum bagi orang-orang Yahudi, dan (dengannya juga) ulama mereka dan pendita-penditanya (menjalankan hukum Allah), sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum-hukum dari Kitab Allah (Taurat) itu, dan mereka pula adalah menjadi penjaga dan pengawasnya (dari sebarang perubahan). oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu (dengan menjaga diri dari melakukan maksiat dan patuh akan perintahKu); dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayatKu Dengan harga Yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia); dan sesiapa Yang tidak menghukum Dengan apa Yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir.

45. Dan Kami telah tetapkan atas mereka di Dalam Kitab Taurat itu, Bahawa jiwa dibalas Dengan jiwa, dan mata dibalas Dengan mata, dan hidung dibalas Dengan hidung, dan telinga dibalas Dengan telinga, dan gigi dibalas Dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). tetapi sesiapa Yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya; dan sesiapa Yang tidak menghukum Dengan apa Yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang Yang zalim.


46. Dan Kami utuskan Nabi Isa Ibni Maryam mengikuti jejak langkah mereka (Nabi-nabi Bani Israil), untuk membenarkan Kitab Taurat Yang diturunkan sebelumnya; dan Kami telah berikan kepadanya Kitab Injil, Yang mengandungi petunjuk hidayah dan cahaya Yang menerangi, sambil mengesahkan benarnya apa Yang telah ada di hadapannya dari Kitab Taurat, serta menjadi petunjuk dan nasihat pengajaran bagi orang-orang Yang (hendak) bertaqwa.


47. Dan hendaklah ahli Kitab Injil menghukum Dengan apa Yang telah diturunkan oleh Allah di dalamnya; dan sesiapa Yang tidak menghukum Dengan apa Yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang Yang fasik.


Meskipun ayat-ayat ini ditujukan kepada Yahudi yang menerima kitab Taurat dan Injil, sebenarnya bermaksud kepada mereka yang ada kitab tetapi tidak mahu menghukum dengan kitab tersebut. Maka samalah dengan umat Islam yang Allah sediakan al-Quran tetapi tidak mahu menghukum dengan al-Quran tersebut. Sesungguhnya Allah telah melaknat kaum Yahudi dengan sebab tindakan mereka itu dalam bentuk sentiasa berlaku persengketaan, jenayah, kemaksiatan dan sebagainya. Begitu juga sekiranya umat Islam kini enggan maka Allah akan murka sebagaimana Allah murka kepada kaum Yahudi sehinggalah ke hari ini.

Firman Allah di dalam Surah Yusof ayat 40 yang bermaksud: “Keputusan (Hukum ) itu hanyalah kepunyaan Allah. dia Telah memerintahkan agar kamu tidak menyembah selain Dia. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”

Berhukum dengan hukum Allah adalah manifestasi ( terjemahan ) iman dan tauhid (al-Qaradhawy, 1997:103), manakala mencanggahinya adalah manifestasi kekufuran, syirik dan kezaliman.

Persoalan ini bukan suatu bahan gurauan, sendaan, kajian, penangguhan atau rundingan. Hanya ada dua pilihan. Sama ada berhukum dengan hukum Allah yang merupakan rentetan dari prinsip kehambaan mutlak kepada Allah atau berhukum dengan hukum yang lain, dengan menyerahkan hak berhukum itu kepada taghut, syirik dan kufur.

Inilah yang digambarkan oleh firman Allah dalam Surah al-Nisā’ : 60 yang bermaksud:

“Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya Telah beriman kepada apa yang diturunkan kepada mu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu? mereka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka Telah diperintah mengingkari taghut itu. dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya”.

Allah Taala sendiri menafikan keimanan mereka di dalam Surah al-Nisā’ : 65 yang bermaksud:

“Maka demi Tuhan mu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, Kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya”.

Hanya berhukum dengan hukum Allah menjamin kesejahteraan kehidupan manusia rohani dan jasmani, individu dan komuniti di dunia mahupun di akhirat. Ini merujuk kepada hakikat hukum dan perundangan Islam yang bermatlamatkan kemaslahatan dan keadilan. Sekaligus ia mencegah kerosakan, kemudaratan dan kezaliman. Walaupun ia kelihatan keras dan kasar namun hakikatnya adalah kemaslahatan dan kesejahteraan. Inilah yang dijelaskan dalam firman Allah di dalam Surah al-Baqarah : 179 yang bermaksud :

“Dan dalam qisas itu ada (jaminan kelangsungan) hidup bagimu, Hai orang-orang yang berakal, supaya kamu bertakwa”.

Hukuman qisas walau kelihatan kasar dan keras ke atas individu dan masyarakat namun ia menjamin keamanan dan kesejahteraan mereka. Bila ia dijalankan secara berkesan masyarakat akan menjalani kehidupan seharian dengan penuh ketenangan. Tanpa bimbang dan takut kepada penjenayah-penjenayah yang membarah rasa tidak selamat. Lihatlah pada realiti kehidupan masyarakat, akibat daripada meninggalkan hukum Allah. Kecurian, rompakan, rogol, samun, pembunuhan, penagihan dadah, zina, judi, rasuah dan sebagainya telah menjadi suatu penyakit masyarakat bahkan industri yang terlalu amat berkembang. Akibatnya lahirlah rasa bimbang, rasa curiga, wasangka, kezaliman, masyarakat tanpa nasab keturunan, kemiskinan, budaya berseronok yang melampau, budaya hiburan yang merosakkan, ketidakseimbangan agihan kekayaan, kemiskinan dan kemelaratan.

Kelebihan Melaksanakan Hukum Allah

Setelah merujuk kepada perintah Allah dan pelaksanaannya di zaman Rasulullah maka terpancar di pemikiran yang sihat bahawa pelaksanaan hukum Allah mendatangkan kebajikan, keadilan, keamanan dan kesempurnaan hidup seluruh umat manusia. Ini merupakan ganjaran yang diberikan oleh Allah kepada umat manusia apabila melaksanakan hukum Allah tanpa mengira dasar politik dan berbilang kaum. Bahkan ia akan meningkatkan lagi hubungan persaudaraan dan kasih-sayang sesama manusia. Malah ia akan memadamkan segala perpecahan dan perkelahian (al-Qaradhawy, 1997b:18). Segala macam ancaman kepada masyarakat akan dapat diselesaikan dengan sempurna. Segala bentuk gejala sosial akan dapat dileraikan dengan baik tanpa sebarang kekecohan dan kekeliruan. Apa yang paling penting ialah kesan daripada pelaksanaan tersebut menghasilkan kemanisan iman dan kecintaan kepada Allah.

Keadilan Allah yang mutlak itulah menjamin kehidupan yang sejahtera. (al-Qaradhawy, 1997b:57).

Sekiranya manusia menggunakan hukum ciptaannya sendiri maka ia telah mempersendakan Allah yang menyebabkan kufur dan syirik kepada Allah. Sekiranya ia perbuatan orang bukan Islam maka padanlah mereka sememangnya syirik dan kufur, tetapi jika seseorang mukmin bertindak demikian maka hilanglah segala amalan dan keislamannya. Ia bertepatan dengan firman Allah di dalam Surah al-Nahl : 116 yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta "Ini halal dan Ini haram", untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung”.
posted by Abu Mus'ab @ 6:39 PTG   0 comments
ABU LAHAB TURUT MERAIKAN MAULIDUR RASUL
Khamis, Februari 17, 2011

Maulidur Rasul Bukan Setakat Mengadakan PERARAKAN

Muqaddimah

Rasulullah saw sebagai penghulu kepada semua Rasul alahimussolatu wassalam serta rasul untuk seluruh generasi akhir zaman ini datang dengan risalah Islam yang menyeluruh sebagai rahmat kepada sekalian alam. Kelahiran baginda saw menggembirakan seluruh alam dan risalah baginda saw membahagiakan semua manusia. Oleh itu, wajarlah kita memperingati kelahiran Baginda saw dengan mengambil Sunnah dan ajarannya sebagai Teras serta Dasar kehidupan.

Sejarah Sambutan Maulidur Rasul

Ada beberapa riwayat berkenaan permulaan sambutan Maulidur Rasul ini iaitu:

a- Riwayat Pertama: Selepas Solahuddin al-Ayubi dan tenteranya berjaya merampas Masjid al-Aqsa dari Yahudi dalam peperangan al-Hittin. Disambut sebagai pengisian kemenangan agar tidak lalai dengan kejayaan dan kemenangan.

b- Riwayat Kedua: Ketika persiapan orang Islam menghadapi tentera Tartar (Monggol) di bawah pimpinan Sultan Mahmud Qutuz dan Zahir Bebers di Mesir sehingga berjaya di Ain Jalut dan ramai Tentera Tartar memeluk Islam.

Adapun semata-mata meraikan kelahiran Rasulullah saw, peristiwa ini turut diraikan dan dianjurkan oleh Abu Lahab, iaitu dengan memerdekakan hambanya dan menyembelih korba beberapa ekor untanya untuk menggambarkan kegembiraannya. Tetapi setelah diajak untuk bersama dengan Islam, Abu Lahab menolak bahkan menentang ajaran anak saudaranya sekeras-kerasnya.

Sambutan yang dilakukan adalah sepatutnya mengikut cara yang dilakukan oleh Solahuddin al-Ayubi dengan cara mengisi kemenangan atau melahirkan semangat untuk memperjuangkan dan beramal dengan Islam, bukan seperti cara Abu Lahab yang hanya meraikan kelahiran Nabi saw. Sambutan Maulidur Rasul boleh diadakan tetapi dengan cara yang tidak bercanggah dengan tatacara Islam dan boleh mendatangkan kecintaan kepada Rasulullah saw.

Tugas Kedatangan Rasulullah saw

Firman Allah taala di dalam Surah al-Jumuah ayat 2 yang bermaksud: "Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan hikmah (As Sunnah). dan Sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata."

Berdasarkan kepada ayat di atas, Rasulullah saw diutuskan adalah untuk:

a- Membacakan kepada manusia ayat-ayat Allah, iaitu mengajak atau berdakwah kepada Ketaqwaan, beribadat dan taat kepada Allah menurut apa yang diserukan oleh Rasul-Nya.

b- Membersihkan mereka, iaitu tazkiyah dan ta'dib. Membersihkan hati manusia dari karat-karat dosa dan maksiat serta mengumpulkan dalam hati mereka dengan akhlak yang mulia.

c- Mengajar manusia itu dengan Kitab, iaitu al-Quran al-Karim dan hikmah, iaitu Sunnah Nabi saw dengan mengutamakan pembangunan dari segi Ruhiyyah, Thaqafah dan Material.

Kecintaan Rasulullah saw Terhadap Umatnya

Firman Allah taala di dalam Surah at-Taubah ayat 128 yang bermaksud: "Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaum mu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi Penyayang terhadap orang-orang mukmin."

Dalam ayat di atas, Allah taala menerangkan bahawa kesemua sifat Rasulullah itu dengan mengaitkannya dengan orang yang dihadapkan percakapan iaitu kamu. Ini menandakan betapa perihatinnya Rasulullah saw kepada setiap saat kepada umatnya. Oleh itu umat Muhammad saw hendaklah membalas kecintaan kepada Baginda saw lebih dari segalanya.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Tidak sempurna Iman seseorang kamu sehingga Allah dan RasulNya menjadi terlebih cinta kepadanya dari ibubapanya, anaknya dan semua manusia keseluruhannya."

Sabda Rasulullah saw lagi yang bermaksud: "Tiga perkara yang akan mendatangkan kemanisan Iman: Apabila Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya dari selain keduanya..."

Antara tanda kecintaan kita kepada Baginda saw ialah:

a- Melaksanakan segala arahan Baginda saw
b- Cintakan Sunnah-sunnah saw
c- Memelihara nama dan maruah Baginda saw dari dicemari oleh orang-orang yang jahil
d- Bersolawat ke atas Baginda saw ketika disebut nama Baginda saw
e- Menziarahi Baginda saw ketika berada di Tanah Suci

Sifat Orang Yang Mencintai Rasulullah saw

Firman Allah taala di dalam Surah al-Fath, ayat 29 yang bermaksud: "Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka. Kamu lihat mereka ruku' dan sujud mencari karunia Allah dan keridhaan-Nya, tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud. Demikianlah sifat-sifat mereka dalam Taurat dan sifat-sifat mereka dalam Injil, yaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya. Maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat lalu menjadi besarlah dia dan tegak lurus di atas pokoknya; tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya karena Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang kafir (dengan kekuatan orang-orang mukmin). Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh di antara mereka ampunan dan pahala yang besar."

Sifat-sifat itu ialah:

a- Kuat dan hebat serta tegas di mata orang bukan Islam
b- Lemah-lembut dan penyayang di kalangan saudara Islam
c- Senantiasa ruku' dan sujud mencari keredhaan Allah taala
d- Senantiasa beramal dan bekerja keras untuk mencari kurniaan Allah
e- Tanda sujud kelihatan di wajah mereka.

Tugas Kita Selepas Baginda saw

a- Tetap beristiqamah atas jalan yang Baginda saw tunjukkan kepada kita dan tidak belok dari jalan itu. Firman Allah taala di dalam Surah al-Imran ayat 144 yang bermaksud: "Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikitpun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur."

b- Menjadikan Baginda saw sebagai role model dalam setiap aspek kehidupan kita seharian. Firman Allah taala di dalam Surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud: "Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah."

Rasulullah saw adalah contoh kepada setiap bapa, ketua keluarga, suami, para hakim, para muhasib, para pendakwah, pemimpin tentera, masyarakat dan negara, yang merupakan contoh untuk setiap kategori dari Rasulullah saw.

Kesimpulan

Memperingati Maulidur Rasul bukan setakat dengan meraikan dan menganjurkan pelbagai majlis perarakan dan berzanji, baik di peringkat Kerajaan, Jabatan, Sekolah, Masjid dan Surau serta di rumah yang tertentu.

Sesungguhnya memperingati Maulidur Rasul lebih beerti jika kita semua kembali kepada hidayah dan panduan yang dibawa oleh Baginda saw secara keseluruhannya. Gunakanlah kesempatan dan peluang sempena hari kebesaran Islam ini sebaik mungkin untuk menyedarkan masyarakat kepada Islam yang sebenar dari Rasulullah saw.
posted by Abu Mus'ab @ 3:00 PTG   1 comments
HARAM MERAIKAN VALENTINE DAY
Isnin, Februari 14, 2011

Haram Merayakan Hari Valentine

HARI VALENTINE mengikut sejarah datang dari zaman pemerintah Ratu Isabella di Sepanyol. Perkataan VALENTINE diambil sempena nama pederi besar Kristian Saint Valentine, beliau amat disayangi oleh Ratu Isabella dan juga rakyat jelata kerana beliau berjaya menumpaskan kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol pada 14 Feb (tarikh Hari Valentine) tahun 270 masihi.

Kejayaan beliau begitu bermakna bagi Ratu Isabella oleh itu, 14 Feb disambut setiap tahun bagi merayakan kemenangan tersebut dengan menamakan Hari Valentine.

Hari ini, Hari Valentine dinamakan juga dengan Hari Kekasih, yang dirayakan oleh kebanyakkan remaja-remaja yang berada di alam Cinta Monyet atau dengan panggilan manjanya adalah 'LOVE MONKEY'.

Oleh itu, jika anda (umat Islam) menyambut Hari VALENTINE samalah seperti anda gembira dengan menumpaskan kerajaan Islam di Cordova. Dan sememang orang yang menganut agama Islam adalah HARAM merayakannya kerana ia merupakan dosa yang amat besar.
posted by Abu Mus'ab @ 4:45 PTG   0 comments
RISALAH VALENTINE DAY
Risalah Valentine Day

posted by Abu Mus'ab @ 4:37 PTG   1 comments
ERTI BERTERIMA KASIH DI SISI ALLAH TAALA
Rabu, Februari 09, 2011

Bersyukur Di Sisi Allah Taala

Sehingga kini, musuh Allah taala terutama Yahudi laknatullah telah memainkan peranan utama dalam menjahilkan dan menyesatkan serta menyempitkan pemikiran umat Islam dengan pelbagai teori dan idealogi serta pandangan. Yang sememangnya mengakibatkan terpesongnya aqidah Islam seseorang yang menganut agama Allah ini. Kadang-kadang, tanpa disedari, dia telah pun Murtad terhadap Allah taala.

Benarlah apa yang telah diucapkan oleh al-Marhum as-Syeikh as-Sya'rawi rahimahullahu taala: "Umat Islam hari ini amat berbangga dengan agama Islam yang dianutinya, tetapi mereka MURTAD dari sudut pengamalannya."

Di sini, suka saya berkongsi pengetahuan, hasil pendasaran dari al-Quran dan al-Hadis Nabi saw, yang menegaskan akan konsep Bersyukur Menurut Pandangan Islam, iaitu erti Bersyukur di sisi Allah taala. Jika kita merujuk kepada suasana semasa hari ini, orang Islam di kalangan kita "Apa makna Berterima Kasih di sisi Allah taala."

Erti Bersyukur Di Sisi Allah taala

Firman Allah taala di dalam Surah al-Imran ayat 144 yang bermaksud: "Dan Allah akan memberi balasan kepada orang yang berterima kasih."

Para Ulama' tafsir telah menafsirkan akan ayat di atas dengan kenyataan bahawa: Orang-orang yang berterima kasih itu ialah orang yang teguh memegang agamanya, dengan tidak berpaling tadah, bahkan mensyukuri Allah yang telah memberikannya petunjuk dan hidayah. Allah berjanji akan menolong orang yang telah menolong-Nya iaitu orang yang mempertinggikan agama-Nya dan meletakkan kalimah Allah paling tinggi dari yang lain, pasti Allah laksanakan janji-Nya.

Kemudian, firman Allah taala yang lain dalam menyatakan makna "Bersyukur" di sisi-Nya, ialah di dalam Surah al-Imran ayat 145 yang bermaksud: "Dan Kami beri balasan orang-orang yang bersyukur."

Ulama' tafsir menjelaskan bahawa mereka itu ialah orang-orang yang beriman yang taat tidak terpesong dan seleweng pun arahnya dari BERJIHAD FI SABILILLAH, dan tidak beramal kecuali kerana Allah taala dan hari akhirat.

Mari kita kuatkan maksud "Bersyukur" di sisi Allah taala di atas dengan kenyataan daripada Nabi kita Muhammad saw, di dalam hadis yang ke-26, dalam kitab Syarah Hadis 40, susunan Iman Nawawi rahimahullahu taala.

Hadis tersebut menunjukkan kepada kita bahawa pada anggota seorang manusia ada sedeqahnya, iaitu ada pahalanya setiap hari sejak dari paginya. Itupun kiranya dia gunakannya pada jalan yang diperintah atau yang dianjurkan oleh Islam. Penggunaan ini dinamakan 'Syukur' atau 'Terima Kasih' dalam ertikata yang sebenarnya.

Sebab 'Syukur' menurut istilah Islam ialah menggunakan anggota dan ni'mat ke arah jalan yang baik. Syukur juga bererti menjauhi maksiat dengan mencegah anggota zahir dan batin dari melakukan sebarang bentuk kemaksiatan dan kemungkaran tersebut. Inilah yang pernah dikatakan oleh Ulama' Salaf: "Syukur itu adalah meninggalkan segala perbuatan yang maksiat."

Realiti hari ini, walaupun kita melihat, konsep Bersyukur atau Berterima Kasih, lebih dipandang ertikan kepada makna menilai kebaikan dan kemudahan serta keselesaan, dan juga pelepasan kesusahan daripada seseorang kepada orang yang ditimpa kesusahan dengan memberi penghormatan dan seumpamanya dengannya.

Islam menuntut kepada penganutnya agar menilai tindakan demikian dengan cara yang sejujurnya. Tidaklah perlu mengampu dan mengagung-agungkan seseorang yang melepaskan segala bentuk kesusahan tersebut. Kerana perlu ingat, Allah taala sahajalah yang berhak dan layak untuk untuk diberi pujian, dan diagung-agungkan. Kerana Dia lah yang melepaskan segala kesusahan yang dialami oleh hamba-Nya.

Adapun, manusia hanyalah wasilah semata-mata. Bahkan kengkadang, itulah antara peranan manusia yang beriman dalam menyelesaikan masalah dan mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh manusia yang lain. Apatahlagi, jika dia merupakan seorang pemerintah atau pemimpin. Tidak salah kita bersyukur dan berterima kasih kepada manusia, tetapi janganlah sampai melampau batas sehinggakan kita lupa bahawa yang patut diutamakan dan diagungkan adalah Allah taala sahaja.

Perlu diingatkan bahawa telah berkata Dr. Muhammad Naim Yassin dalam kitabnya Iman, Rukun, Hakikat dan Pembatalannya, dalam muka surat 315 dalam menjelaskan perkara-perkara yang membatalkan shahadah iaitulah: "Maka sesiapa yang mengatakan suatu perkataan, atau melakukan suatu perbuatan, atau iktikad dengan sesuatu pegangan yang mengandungi ingkar hak ibadat ini, atau mengurangkan hak ibadat ini dari Allah, atau isbatkan hak ibadah ini, atau sebahagian dari hak ini kepada lain daripada Allah, bererti ia telah kufur dan terkeluar daripada agama Allah iaitu Islam."

Mudah-mudahan kita semua tergolong di kalangan mereka yang bebas dari fahaman dan serangan pemikiran dan resapan pandangan dari musuh Allah, terutama Yahudi laknatullah dan sekutu-sekutunya.

Wallahu taala a'lam

al-Faqiiru ila Allah..
Kaherah, Mesir


Ihsan dari ILMAM Malaysia
posted by Abu Mus'ab @ 11:30 PG   0 comments
KEWAJIPAN JIHAD DALAM ISLAM
Selasa, Februari 08, 2011

Kewajipan Jihad Dalam Islam

PENDAHULUAN

Jihad berasal dari perkataan Al Juhdu bermakna Attaqah ; berjuang dengan segala kemampuan dan kekuasaan. Dan perkataan Al Jahdu dengan makna al masyaqqah ; berjuang dengan segala kepayahan dan kesusahan. Orang yang berjihad di jalan Allah akan diberi ganjaran yang besar iaitu dimasukkan ke dalam Syurga. Berjihad ialah berusaha dengan bersungguh sungguh bagi mempertahankan Agama Islam dan mengatasi penentang-penentangnya. Berjuang bagi menegakkan Kalimah Allah, memenangkan Islam dengan harta dan jiwa raga. Jihad adalah merupakan satu kewajipan dan perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Firman Allah di dalam Al Quran yang bermaksud: “Kamu diwajibkan berperang ( untuk menentang percerobohan ), sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci, dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu pada hal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu pada hal ia buruk bagi kamu. Dan ( ingatlah ), Allah jualah yang mengetahui ( semua itu ), sedang kamu tidak mengetahuinya". ( Al Baqarah : 216 )

Sesungguhnya sejarah telah membuktikan bahawa kecemerlangan umat Islam di zaman lampau adalah bermula dengan semangat jihad. Jiwa mereka yang mantap dengan keimanan dan diiringi kecintaan kepada Allah dan Rasul, akhirnya mereka sanggup berjihad untuk meninggikan Kalimah Allah.

‏‏قَالَ‏ ‏أَبُو مُوسَى الْأَشْعَرِيُّ : أَنَّ أَعْرَابِيًّا أَتَى النَّبِيَّ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ الرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِلْمَغْنَمِ وَالرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِيُذْكَرَ وَالرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِيُرَى مَكَانُهُ فَمَنْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏مَنْ قَاتَلَ لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: Berkata Abu Musa Al Asy'ari' :“ Seorang Badawi bertanya kepada Rasulullah SAW tentang jihad: Orang yang berjihad atau berperang kerana mahukan harta rampasan, orang yang berperang kerana mahukan supaya namanya disebut, orang yang berperang kerana menunjuk-nunjuk kepada orang, orang yang berperang kerana keberanian semata-mata, orang yang berperang kerana perkauman, atau kerana kekeluargaan atau pun kerana fanatik keturunannya atau pun berperang kerana marah, maka siapkah yang dikatakan berperang fi sabilillah ? “ Rasulullah SAW menjawab: “ Orang yang berperang kerana menegakkan Kalimah Allah Yang Maha Suci maka ia adalah Fi Sabilillah.”

Kewajipan berjihad hampir dilupai oleh sebahagian besar umat Islam, akibat daripada pendidikan Islam sebenar telah diselewengkan oleh penjajah dan anak didik mereka. Golongan ini memasukkan kefahaman mereka kedalam pemikiran umat Islam menyebabkan tenggelamnya kewajipan berjihad membela agama, menegakkan Islam dan memerangi golongan kuffar yang menceroboh dan memusnahkan kepentingan Islam dan umatnya. Mereka mendefinisikan jihad yang lebih utama di zaman ini ialah jihad ekonomi, jihad menghapuskan kemiskinan, membangunkan negara dan sebagainya. Mereka lupa bahawa pemikiran dan tindak tanduk mereka itu telah dikuasai oleh musuh Islam, iaitu roh musuh telah menyerap masuk ke dalam jasad mereka.

Menurut Abdul Hamid Siddiqqi, jihad ialah pengorbanan seluruh daya usaha pada jalan Allah , ia merangkumi keseluruhan dimensi perjuangan untuk menegakkan Kalimah Allah.

Sehubungan itu Abu al-Hasan Ali al-Nadawi menegsakan bahawa jihad ialah perjuangan untuk menegakkan keadilan di muka bumi.

Para ulama telah bersependapat bahawa jihad ialah segala pengorbanan daya usaha setiap muslim, sehingga sanggup mengorbankan nyawa dan harta benda demi untuk menghapuskan kemugkaran dan segala kebatilan atau apa jua segala bentuk yang bercanggah dengan syariat Allah, ia ditentang habis-habisan.

Kesimpulannya jelas bahawa jihad ialah perjuangan dalam segala bentuk dan dalam semua aspek untuk menegakkan Kalimah Allah, lantaran itu jelaslah bahawa perjuangan kerana tanahair, bangsa, marah, harta dan pangkat adalah bukan Fi Sabilillah.

PENDAPAT ULAMA' TENTANG JIHAD

1. Sesungguhnya berjihad adalah satu fardhu ( satu kewajipan ). Ia adalah satu ujian. Allah mulakan dengan kalimah kutiba ( كُتِبَ: dituntut ke atas kamu ) berperang, ayat lain kutiba di wajibkan ke atas kamu berpuasa.

Firman Allah yang bermaksud: “ Dituntut atas kamu berperang, pada hal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu benci sesuatu, pada hal ia amat baik bagi mu, dan boleh jadi ( pula ) kamu menyukai sesuatu, pada hal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” ( Al Baqarah : 216 )

2. Menurut Dr Abdullah al-Azzam berjihad adalah satu kewajipan, ia adalah salah satu dari kewajipan yang diturunkan oleh Allah dari langit yang tujuh, Kewajipan ini seperti wajibnya mendirikan solat, zakat dan puasa.

Firman Allah yang bermaksud: “ Telah diizinkan ( berperang ) bagi orang-orang yang diperangi kerana sesungguhnya mereka telah teraniaya, Dan sesungguhnya Allah benar-benar Maha Berkuasa menolong mereka.” ( Surah Al Hajj: 39 )

3. Al-Syahid Hasan al-Banna menegaskan dengan jihad merupakan kewajipan yang berterusan sehingga ke hari Qiamat. Termasuk maksud hadith Rasulullah SAW: “ Sesiapa yang mati tanpa berperang dan tidak mempunyai niat untuk berperang maka ia mati dalam keadaan jahiliyyah.”

4. Allah akan menjauhkan jasad mereka yang berjihad dari seksa api Neraka. Sabda Rasulullah SAW:

عَنْ ‏ ‏ابْنِ عَبَّاسٍ ‏ ‏قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏يَقُولُ ‏ ‏عَيْنَانِ لَا تَمَسُّهُمَا النَّارُ عَيْنٌ بَكَتْ مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ وَعَيْنٌ بَاتَتْ تَحْرُسُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

Maksudnya : “ dari Ibnu Abbas r.a. ia berkata, saya mendengar Rasulullah bersabda : Ada dua mata yang tidak akan terkena api neraka, iaitu mata yang menagis kerana takut kepada Allah, dan mata yang berjaga di dalam perang Sabilillah.”

5. Allah menyanjung tinggi martabat mujahidin dan disediakan Syurga bagi mereka.

Firman Allah yang bermaksud: (Mereka tetap tinggal) tetapi Rasulullah dan orang-orang yang beriman bersamanya, berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka; dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kebaikan, dan mereka itulah juga yang berjaya. Allah telah menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; yang demikian itulah kemenangan yang besar. ( Surah al-Taubat, ayat 88 -89 )

6. Allah amat mencintai mereka yang berjihad di dalam gerakan Islam sebagai satu sof jemaah yang tersusun rapi.

Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh. ( Surah al-Saff, : 4 )

7. Mengikut Ulama’ Mazhab Syafie, jihad merupakan perang ke atas orang kafir untuk memenangkan Islam. Sementara Ulama’ Mazhab Hanafi pula mentakrifkan jihad sebagai menyeru kepada agama yang benar ( Islam ) dan memerangi orang yang tidak menerimanya dengan harta benda dan nyawanya, berdasarkan hadith Rasulullah S.A.W. :

مَنْ قَاتَلَ لِتَكُوْنَ كَلِمَةَ اللهِ اْلعُلْيَا فَهُوَ فِيْ سَبِيْلِ اللهِ

Maksudnya : “ Barangsiapa yang berperang demi menegakkan Kalimah Allah, maka dialah yang berada di jalan Allah “. (Riwayat Muslim)

Al Imam Hassan Al Banna pernah menegaskan :

“ Islam mewajibkan jihad ke atas penganut-penganutnya bukanlah bertujuan untuk mencari permusuhan di antara sesama manusia, bukan pula untuk membuka jalan ke jurang tamak haloba kepada harta benda dengan cara merampas secara kekerasan. Sebaliknya jihad itu diwajibkan semata-mata bertujuan untuk menjamin keamanan am dan perdamaian dengan menunaikan perutusan agama yang diamanahkan Allah ke atas bahu setiap orang Islam. Amanah menyampaikan risalah agama yang memberi petunjuk kepada manusia menuju ke arah pintu gerbang keadilan dan kebenaran “.

KEWAJIPAN BERJIHAD MENURUT PENDAPAT PARA ULAMA.

1. Ibnu al-Qayyim menegaskan bahawa umat Islam telah diizinkan oleh Allah untuk melancarkan perang dan jihad bagi mendaulatkan kalimah Allah di atas muka bumi ini, sekira ia menentang dan menghalang kerja-kerja dakwah umat Islam atau ingin menghapuskan Islam lantas menjadi kewajipan setiap umat Islam berjihad tanpa pengencualian sama sekali.

2. Jihad untuk meninggikan Kalimah Allah hukum asalnya fardu kifayah, apabila terdapat umat Islam lain melakukannya, apabila pemerintah Islam memerintahkannya maka hukumnya wajib ( fardu ain ) sama seperti wajib solat, puasa zakat dan haji.

3. Mengikut Ibnu Qudamah dalam kitabnya al-Mughni, Katanya jihad hukumnya adalah fardu kifayah, lantas menjadi fardu ain, apabila:

i- Pasukan musuh dan muslim dah mula bersemuka, maka haram tentera Islam melarikan diri ke belakang wajib teruskan perjuangan.

ii- Orang kafir menyerang negara Islam, maka hukumnya wajib, (fardu ain) bagi seluruh penduduk bangkit berjihad.

iii- Arahan pemerintah berjihad , maka wajib ditaati.

4. Menurut al-Syeikh Abdul Qader Audah, sesungguhnya jihad adalah mengorbankan nyawa dan harta untuk mempertahankan Islam dan muslimin. Oleh itu jihad adalah satu kewajipan yang mana tidak boleh dipertilkaikan sama sekali.

5. Sementara pandangan al-Syekh Said Hawwa, beliau telah memperluaskan konsep
Jihad. Jihad dengan lisan ialah mengadakan syarahan, ziarah, kunjung mengunjungi, menyebarkan risalah dan buku-buku ilmiah.

Jihad dalam aspek pendidikan ialah melalui ta`lim, kursus, ulangkaji, bina
madrasah, program ilmuan. Sementara jihad dengan tangan wajib hapuskan segala kemungkaran dengan kuasa, ubah dengan tangan, memusnahkan tempat judi, arak dan pusat pelacuran. Wajib umat Islam menghapuskan kefasadan dan ahli perosak. Sekiranya umat Islam membisu maka berdosa. Lantaran itu menjadi kewajipan ke atas setiap umat Islam melakukan pembersihan sehingga tertegaknya kerajaan Islam.

JIHAD DALAM PILIHANRAYA SATU TUNTUTAN

Pilihanraya adalah merupakan satu jihad. Menyertai pilihanraya merupakan satu amal Islami yang disertai dengan pengorbanan harta benda dan jiwa raga. Gerakan Islam bersedia menghadapi kemungkinan pembunuhan dan kecederaan ke atas diri mereka. Mereka sedar dengan firman Allah yang bermaksud:

Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. ( At Taubah : 41 )

Hari ini pilihanraya menjadi satu fenomena yang berlaku, di mana umat Islam mesti menetapkan pendirian mereka sama ada akan turut melibatkan diri dengan pilihanraya atau sebaliknya. Sama ada menerima siapa sahaja pemimpin yang bakal naik dan apakah ianya memberi keuntungan kepada Islam atau sebaliknya.

Dengan menyertai pilihanraya juga, kuasa Islam dapat ditegakkan. Ini penting bagi menjaga Islam dari dirosakkan bila mana si pemerintah terdiri dari kalangan orang yang tidak menjaga agama. Pilihanraya juga merupakan satu medan dakwah secara terbuka, ini dapat dilakukan dengan ceramah, penyebaran risalah dan sebagainya. Dengan kuasa yang ada melalui pilihanraya gerakan Islam dapat mengawal perlaku pengkhianatan, penipuan dan maksiat yang dilakukan.

Sesungguhnya Jihad Islam berlaku apabila dakwah dan kebaikan Islam dihalang oleh musuh sehingga rakyat menjadi sesat dan dizalimi. Pada waktu ini diharuskan perang. Apatah lagi apabila kezaliman berleluasa dalam menyekat kesedaran Islam dan kebangkitannya.

Firman Allah yang bermaksud: Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan). ( Al Hajj : 39 )

Dalam konteks Malaysia , Gerakan Islam mampu berdepan dengan kezaliman-kezaliman tersebut melalui tindakan berperlembagaan dan undang-undang dengan membawa kes-kes ke mahkamah. Ini adalah satu kerja jihad.

Penglibatan gerakan Islam dalam pilihanraya di Malaysia mendatangkan keuntungan yang besar khususnya apabila dapat menawan Kelantan dan Terengganu untuk memperkenalkan sistem pemerintahan Islam. Antaranya penguatkuasaan terhadap pengharaman arak, judi, riba,maksiat; memperkenalkan hisbah, undang-undang Islam ( Hudud, Qisas dan Takzir ) bahkah corak kepimpinan Islam yang bersifat adil dan bertanggungjawab.
posted by Abu Mus'ab @ 2:44 PTG   0 comments
SYEIKH AL-QARADHAWI ARAHKAN HUSNI MUBARAK BERUNDUR
Jumaat, Februari 04, 2011

Kelantangan, Keberanian dan Ketegasan al-Qaradhawi

"...berundurlah wahai Mubarak andainya di dalam hati kamu ada sebesar zarah sifat rahmat (kasihan belas) atau dalam kepala kamu sebesar zarah fikiran"Syeikh Yusuf Qaradhawi

Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Syaikh Yusuf Qaradhawi menyeru Presiden Mesir, Husni Mubarak berundur ‘dengan kedua-dua kakinya’ secara sukarela, sebelum beliau diundurkan secara paksa.

Al-Qaradhawi menyifatkan regim Husni Mubarak sebagai tidak sedar, tidak faham, buta, pekak dan bodoh.

Beliau berkata kepada Husni Mubarak melalui siaran satelit al-Jazeera “berundurlah wahai Mubarak andainya di dalam hati kamu ada sebesar zarah sifat rahmat (kasihan belas) atau dalam kepala kamu sebesar zarah fikiran”.

Dalam masa yang sama, beliau meminta Mubarak kasihankan dirinya dan keluarganya, kerana jika pemerintahan itu satu ghanimah (harta rampasan),maka sudah cukup untuk Mubarak memerintah selama 30 tahun. Sekiranya ia merupakan satu bebanan, 30 tahun juga sudah memadai untuk Mubarak memikul bebanan itu.

Beliau turut menasihatkan Mubarak supaya berundur daripada kerajaan dan berpindah meninggalkan Mesir kerana Mesir telah kerugian berbilion-bilion harta benda.

Beliau dengan tegas menyatakan, “sudah tiada tempat bagi kamu wahai Mubarak, aku mahu supaya kamu keluar dengan kedua-dua kaki kamu supaya kamu dihukum dan dibicarakan di Mahkamah Awam, bukannya Mahkamah Tentera yang kamu tubuhkan untuk menghukum musuh-musuh kamu, dimana kamu telah menghukum mereka dengan hukuman yang zalim di bawah peruntukan Undang-undang Kecemasan.

Sesungguhnya bagi setiap orang yang zalim ada kesudahannya dan tiada sesiapa pun yang mampu menentang sejarah”.

Qaradhawi menganggap Mubarak sebagai tidak faham mesej rakyat apabila tampil dengan ucapan yang menunjukkan bahawa beliau tidak sedar dengan apa yang sedang berlaku. Beliau,menurut Qaradhawi, berada pada alam lain, bukannya alam kita dan tidak sedar tentang orang-orang yang kelaparan atau tercedera”.

Beliau tertanya-tanya apakah faedah pembubaran kerajaan Mesir yang dilakukan Mubarak, sedangkan beliau selaku Presiden Mesir tidak menyebut apa-apa tentang pembubaran parlimen dan pemansuhan Undang-undang Kecemasan.

Kebangkitan rakyat Mesir ‘kebangkitan yang diberkati’

Dalam ucapannya, Qaradhawi mengucapkan syabas kepada rakyat Mesir di atas ‘kebangkitan yang diberkati’ bagi melawan suasana pincang yang mereka sudah lama bersabar.

Sekian lama mereka bersabar sedangkan mereka melihat pihak-pihak tertentu merompak kekayaan negara dan menikmatinya, sedangkan mereka sebagai rakyat tidak memiliki sesuap makanan.

Qaradhawi menyifatkan kebangkitan rakyat Mesir sebagai kebangkitan yang aman tanpa menggunakan senjata yang bertujuan menuntut kehidupan yang mulia dan sesuap makanan halal, tetapi tiba-tiba dikejutkan dengan peluru hidup dari pasukan keselamatan yang menyebabkan kematian berpuluh-puluh nyawa.

Beliau menegaskan bahawa para demonstran yang sebenar tidak akan terlibat dalam perbuatan merompak harta benda awam, sambil menasihatkan mereka supaya “jangan sekali-kali kamu menghulurkan tangan kamu ke arah mana-mana harta milik institusi awam atau khas, kerana perbuatan itu adalah haram”.

Disamping itu, beliau turut melahirkan rasa bangga dan penghargaannya kepada tentera Mesir, sambil meminta pihak tentera melindungi Mesir pada masa-masa akan datang, tanpa masuk campur dalam soal pemerintahan, dan menyerahkan soal pemerintahan kepada rakyat bagi membolehkan Presiden baru Mesir dipilih melalui saluran demokrasi.

http://warisansemasa.blogspot.com
posted by Abu Mus'ab @ 12:21 PG   0 comments
ILMAM MENGGESA PENUNTUT MALAYSIA DIBAWA PULANG
Rabu, Februari 02, 2011

ILMAM MENGGESA PENUNTUT MALAYSIA DIBAWA PULANG

Hasil daripada komunikasi dengan persatuan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) yang menaungi lebih 5000 orang pelajar di Mesir semalam, beberapa perkara yang dibincangkan dan mesti diambil tindakan segera bagi menjamin keselamatan dan kebajikan kepada rakyat Malaysia lebih 10 000 orang yang berada di 10 negeri seluruh Mesir.

Berdasarkan apa yang sedang berlaku dan kemungkinan yang akan berlaku ke atas semua penuntut Malaysia yang berada di Mesir, berikut adalah pendirian Pertubuhan Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Malaysia;

1- Menggesa Kerajaan Malaysia membawa balik seluruh pelajar Malaysia di sana bukan menghantar ke negara-negara jiran atau ke kawasan setempat yang dikira selamat kerana keadaan yang berlaku telah menjalar ke seluruh negara jiran dan seluruh Mesir. Tindakan ini juga dilakukan oleh beberapa negara lain seperti Britain dan lain-lain selepas melihat situasi di sana yang semakin bahaya.

2- Kerajaan Malaysia mesti memberikan keyakinan kepada seluruh pelajar bahawa mereka yang dibawa pulang, boleh kembali untuk menyambung semula dan menamatkan pelajaran mereka.

3- Harapan kepada seluruh media, sila dapatkan maklumat yang tepat supaya tidak berlaku pencanggahan dan menambahkan keruncingan bagi pihak pelajar dan keluarga mereka. Boleh dapatkan maklumat secara langsung dari Presiden PMRAM, Ustaz Shahrizan bin Mohd Hazime +20113771841.

4- Kami telah menubuhkan Unit Aduan Dan Maklumat khusus bagi isu ini untuk menyalurkan maklumat terkini mengenai pelajar, keadaan dan kebajikan untuk pelajar Malaysia di sana. Sila hubungi ;

1- Mohd Farhan Madzlan / 019-2103035

2- Syed Toriq / Perlis / 013-5190501

3- Mohd Nizam Mohd Noh / Kedah / 019-5586401

4- Ahmad Farizan Abd Hadi / Pulau Pinang / 013-6650388

5- Zawawi Hasan / Perak / 013-5908377

6- Syed Abdul Kadir / Selangor / 017-7770282

7- Wan Ahmad Rasyidi Wan Othman / Kuala Lumpur / 012-3484140

8- Norazman Muhammad / Negeri Sembilan / 019-6400062

9- Zarul bin Salleh / Johor / 019-6813876

10- Mohd Saifuddin / Pahang / 013-9341730

11- Mohd Azizul Hisham / Terengganu / 019-9544780

12- Abdul Fatah / Kelantan / 013-9210960

Akhirnya, kami menyeru kepada rakyat Malaysia supaya mendoakan kesejahteraan rakyat Malaysia di sana. Dan kami akan membuat kenyataan dari semasa ke semasa.

Sekian, Terima Kasih.

Yang menjalankan tugas

Mohd Farhan Bin Madzlan
Timbalan Presiden

Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM)

Malaysia
posted by Abu Mus'ab @ 10:19 PG   1 comments
:: My PeRsoNaL ::





:: SeCanGkIR KaSiH ::
:: ArTikeL TeRKiNi ::
:: ArKiB iLmIYyAh ::
:: PaRTi PAS ::
:: BloGGeR ::
:: JaLiNan ILMU ::
:: TV OnLiNe ::