:: WaJiB ::
:: ToLaK BN ::
:: JaM CaiRo ::
:: RaDio KaHeRaH ::
:: Al-QasSaM ::

:: NaSyiD.FM ::

:: TaQwiM ::
:: ProDuK SyuBhaH ::

:: AkHbaR PiLiHaN ::

:: LaMaN InFO ::

:: MoNeY ChAnGeR ::

Unit

Daripada

Kepada



:: PaLesTiNe ::

:: AnDa PeNGunJunG Ke ::
:: Template By ::

Free Blogger Templates

BLOGGER

ISRA' MI'RAJ : PEMAHAMAN ORANG DULU DENGAN ORANG KINI
Rabu, Jun 13, 2012
ISRA' MI'RAJ : ANTARA PEMAHAMAN ORANG DULU DENGAN ORANG KINI 

Renungilah firman Allah dalam ayat 1 surah al-Isra’ :

 سبحن الذي أسرى بعبده ليلا من المسجد الحرام إلى المسجد الأقصى الذي بركنا حوله لنريه من ءايتنا  إنه هو السميع البصير 


Maksudnya : Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. 

Kita kini masih lagi berada di bulan Rejab, bulan yang telah mencatatkan suatu peristiwa penting di mana pada tanggal 27 Rejab tahun ke sebelas selepas daripada kenabian Rasulullah s.a.w dan 2 tahun sebelum berlakunya hijrah Nabi s.a.w ke Madinah Munawwarah, telah berlaku peristiwa Isra’ dan Mikraj di mana ia merupakan satu bukti tentang kebesaran, kekuasaan dan kehebatan Allah dalam memperjalankan diri Rasulullah s.a.w dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil Aqsa, Baitul Maqdis Palestin dan seterusnya Nabi saw diangkat ke langit untuk bertemu Allah dalam masa yang begitu singkat. 

Peristiwa ini telah membongkarkan tentang keimanan dan keyakinan umat manusia terhadap kekuasaan Allah dan kebenaran kepada kenabian Nabi Muhammad s.a.w. Orang kafir sendiri menjadikan peristiwa Isra’ dan Mikraj ini sebagai suatu pembohongan yang menambahkan lagi penolakan mereka terhadap dakwah nabi. 

Manakala keadaan umat Islam sendiri terbahagi kepada beberapa peringkat di mana ada yang terus membenarkan Nabi saw seperti Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq, ada pula yang mahu penjelasan terperinci dengan menguji Nabi melalui beberapa pertanyaan seperti bilangan pintu dan tiang dalam Masjidil Aqsa bagi membuktikan kebenaran kepada cerita tersebut dan ada pula yang bersikap menolak terus cerita nabi dan kembali murtad daripada Islam. 

Perkara seperti inilah juga yang terpaksa dihadapi oleh kita pada hari ini apabila usaha dalam melaksanakan semula semua sistem Islam dalam negara maka di sana timbulnya beberapa golongan iaitu golongan pertama yang SERATUS PERATUS YAKIN dengan kemampuan Islam serta berusaha dengan kemampuan yang ada untuk melaksanakannya. 

Golongan yang kedua terdiri daripada mereka yang tahu tentang kemampuan sistem Islam tetapi sentiasa mencari jalan agar ia tidak dapat dilaksanakan dengan mencari pelbagai alasan. 

Golongan ketiga iaitu golongan pelampau terdiri daripada mereka yang menolak terus sistem Islam malah memberi amaran akan melakukan huru hara jika ada pihak yang berusaha untuk melaksanakannya dalam negara ini. 

Jika umat dahulu berasa pelik apabila nabi menceritakan tentang Isra’ dan Mikraj maka umat zaman kini merasa pelik apabila disebut tentang sistem Islam yang menyeluruh sedangkan sistem ini pernah dilaksanakan di negara ini pada masa pemerintahan Kesultanan Melayu sebelum datangnya penjajah. 

Umat Islam menjadi pelik dengan agama mereka sendiri kerana mereka telah diajar dan diasuh oleh pemimpin yang jahil dan sesat saban hari melalui tv, radio, akhbar dan sebagainya agar memusuhi dan memerangi sistem Islam yang menyeluruh.

Peristiwa Isra’ dan Mikraj berlaku selepas nabi diuji dengan kematian dua orang yang paling rapat dan banyak membantu baginda dalam usaha menyebarkan dakwah Islam iaitu isteri tercinta Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Tolib. Tekanan yang dihadapi selepas kematian kedua insan yang disayangi semakin bertambah di mana jika kita perkirakan dari segi logik akal maka Islam pasti akan terkubur tetapi kuasa Allah melebihi segala-galanya di mana selepas penolakan dakwah oleh penduduk Taif, Nabi saw telah dihiburkan dengan Isra’ dan Mikraj dan seterusnya diizinkan untuk berhijrah ke Madinah sehingga membina Daulah Islamiah yang telah mengubah kedudukan Islam daripada dihina kepada dipandang mulia, daripada lemah kepada memerintah. 

Dalam peristiwa di Taif di mana penduduknya bukan sahaja menolak mentah-mentah dakwah Islam malah telah melontar batu ke arah Nabi saw sehingga berlumuran darah. Kita dapat melihat Nabi saw telah diberi peluang untuk menang mudah iaitu tawaran daripada malaikat penjaga bukit untuk menjadikan bukit bawah jagaannya sebagai emas tetapi ditolak oleh Nabi saw sebagaimana nabi menolak tawaran malaikat penjaga bukit yang ingin menghancurkan penduduk Taif yang begitu degil dengan menjatuhkan bukit ke atas penduduk Taif. 

Penolakan nabi ini memberi banyak pengajaran kepada kita umat Islam di mana kekayaan bukanlah faktor utama dalam menegakkan Islam kerana jika kita perhatikan pada hari ini kebanyakan negara umat Islam dianugerahkan dengan hasil mahsul negara yang banyak tetapi ia tidak membantu pelaksanaan sistem Islam dan tidak pula membantu untuk umat Islam bersatu dalam menghentikan penderitaan umat Islam yang sedang ditindas. 

Kekayaan hanya dibolot oleh pemimpin dan mereka yang dekat dengan pemimpin sedangkan rakyat terus menderita dan ditegah daripada bersuara menegur kesesatan dan kezaliman pemimpin. Islam bukan mampu bangkit dengan kekuatan ekonomi semata-mata tetapi Islam bangkit melalui kekuatan AQIDAH yang ditanam dalam diri. 

Islam juga bukan tersebar atas paksaan tetapi ia mampu menawan hati manusia dengan keadilan dan keindahan seluruh sistemnya sehingga tawaran kesenangan dunia dengan sendiri akan ditolak apabila semangat Islam telah menguasai diri seseorang. Kekuatan aqidah inilah yang menjadi musuh kepada mereka yang melawan Islam daripada golongan kuffar dan munafik. Kita perlu ingat bahawa tiada istilah menang mudah dalam memperjuangkan Islam kerana ia menuntut kepada kesabaran dan istiqamah sebelum datangnya janji kemenangan daripada Allah. 

Peristiwa Isra’ Mikraj berlaku di dua tempat utama di bumi sebelum nabi dinaikkan ke Sidratul Muntaha iaitu bumi Mekah dan Palestin malah melalui ayat 1 surah Isra’ menjelaskan bagaimana Allah memberkati bumi Isra’ dan sekitarnya. 

Sehingga kini bumi Isra’ iaitu Baitul Maqdis, Palestin terus menjadi rebutan tiga agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi di mana keganasan Yahudi dalam membunuh dan merampas tanah milik umat Islam terus berjalan tanpa perikemanusiaan. Kuasa Kristian yang dibeli oleh yahudi terutama Amerika Syarikat turut menggalakkan pembunuhan umat Islam malah kuasa kristian atas nama memerangi keganasan terus menjadikan umat Islam sebagai sasaran kepada senjata milik mereka. 

2 kuasa besar masa kini iaitu kuasa Kristian dan yahudi seumpama 2 kuasa besar Rom dan Parsi yang pernah dihadapi oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat pada zaman itu di mana akhirnya turut tunduk dan patuh kepada pemerintahan Islam. Kemenangan Islam dalam menakluki 2 kuasa besar tersebut telah diperolehi samada melalui perang atau pun perdamaian. 

Sebagaimana kuasa Rom dan Parsi memandang rendah kepada Daulah Islamiah yang dibina oleh Nabi saw di Madinah pada awalnya tetapi akhirnya mereka sendiri merasa gerun melihat kehebatan sebuah pemerintahan Islam yang diasaskan atas AQIDAH dengan membina kemajuan tamadun kebendaan tanpa mengabaikan pembangunan insan. 

Begitulah terjadi pada hari ini di mana selepas penjajahan dan negara-negara umat Islam diberikan kemerdekaan maka kuasa penjajah terutama kristian begitu mengambil berat tentang kepimpinan yang sedang dan akan memerintah di negara jajahan mereka sebelum ini agar pemimpin yang dilantik mestilah meneruskan dasar penjajah walau dengan apa cara sekali pun termasuk cara kekerasan dengan menekan rakyat agar tidak kembali kepada pemerintahan Islam. 

Dunia kini secara keseluruhan mula kembali semula kepada Islam terutama selepas serangan terhadap 2 bangunan di Amerika pada 11 September 2001 yang lepas. Kuasa yahudi dan kristian berasa gerun dengan perubahan yang mendadak lalu mengambil tindakan lebih ganas dan kejam dengan menggelarkan umat Islam sebagai pengganas yang mesti dihapuskan dari muka bumi ini. Mereka  menekan seluruh negara umat Islam seperti Palestin, Afghanistan, Kashmir, Iraq, Indonesia dan lain-lain. 

Kita ingatkan kuffar bahawa dunia Islam tidak selamanya ditimpa gerhana tetapi ia akan kembali bercahaya dengan syarat seluruh umat Islam kembali bersatu atas dasar Islam dengan MENOLAK Semangat Kebangsaan yang memecahbelahkan kesatuan umat Islam sebelum ini. Islamlah nescaya kita akan beroleh kemenangan bersama kerdehaan Allah di dunia dan akhirat. 

Renungilah firman Allah dalam  ayat 286 penutup surah al-Baqarah yang merupakan ayat yang diterima oleh nabi semasa bertemu Allah pada malam Isra’ Mikraj selain daripada kewajipan solat lima waktu sehari semalam:

 لايكلف الله نفسا إلا وسعها لها ما كسبت وعليها ما اكتسبت ربنا لا تؤاخذنا إن نسينا أو أخطأنا  ربنا ولا تحمل علينا إصرا كما حملته على الذين من قبلنا  ربنا ولا تحملنا مالا طاقة لنا به واعف عنا واغفرلنا وارحمنا أنت مولئنا فانصرنا على القوم الكفرين 

Maksudnya : Allah tidak membebankan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat ganjaran kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau mengirakan kami berdosa jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami!Janganlah Engkau bebankan ke atas kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan ke atas kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami, oleh itu bantulah kami dalam mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kufur.
posted by Abu Mus'ab @ 11:01 PG  
0 Comments:
Catat Ulasan
<< Home
 
:: My PeRsoNaL ::





:: SeCanGkIR KaSiH ::
:: ArTikeL TeRKiNi ::
:: ArKiB iLmIYyAh ::
:: PaRTi PAS ::
:: BloGGeR ::
:: JaLiNan ILMU ::
:: TV OnLiNe ::